Thursday, July 24, 2008 | By: Yusuf Nur

1/4 Aku, pasar ikan dan tomato




Waktu itu, hari sudah petang dan kakiku sudah letih mengelilingi bandar yang panas. Matahari masih terik membuat setiap langkahku terseksa. Habanya menyapa kulitku yang semakin gelap kerana sel-sel yang terbakar. Aku gerakkan langkah sebelum singgah di masjid di tengah bandar menunaikan solat Asar sebelum menyambung perjalananku. Merayau-rayau. Sebelum melangkah pulang, terdetik hatiku untuk membeli ikan barang sekilo dua untuk orang di rumah nanti, meskipun sebenarnya juga untukku sendiri.

Pasar ikan terletak di hujung bandar dan menghadap laut, berhampiran dengan pelabuhan. Sedikit jauh dari masjid di tengah bandar tapi aku sudah biasa dengan itu. Aku berjalan sendiri melintasi jalan raya yang sibuk sebelum meneruskan perjalanan ke pasar ikan. Aku tiba setelah beberapa minit. Saat melangkah masuk, langkahku aku perlahankan kerana bimbang dengan permukaan lantai pasar yang kelihatan licin kerana basah.

Beberapa langkah melepasi ruang masuk, aku membelok ke lorong sebelah kanan. Hingar-bingar suasana di dalam pasar dengan beberapa orang pelanggan tawar-menawar dengan penjual ikan, sementara penjual yang lain berteriak-teriak untuk kempen harga ikan jualan mereka. Aku hanya memerhati dalam diam meskipun sesetengah penjual menawarkan ikannya kepadaku.

Pada penjual bernombor tiga, aku berhenti memerhatikan ikan yang dijual. Ikan Kembung. Mata ikan itu besar, badannya licin dan cantik. Akalku menerawang. Terdetik aku untuk mencari sinonimnya dalam dunia manusia. Setelah seketika, yang kulihat sama seperti ikan Kembung adalah perempuan-perempuan cantik yang menghias kesibukan masyarakat di bandar, di kampus, di pasar, di tamu mingguan dan banyak tempat tumpuan orang. Mungkin juga ikan Kembung sama seperti perempuan yang suka memperlihatkan semua miliknya pada orang. Dengan pakaian ketat dan sendat seperti gebu dan licinnya badan ikan Kembung. Bezanya, ikan Kembung dijual dan dibeli. Pameran perempuan-perempuan itu hanya mencuci mata-mata di sekeliling sahaja. Tak berharga.

Aku ketawa sendiri. Mungkin juga ikan kembung sama dengan perempuan berdahi licin yang tamakkan harta. Matanya yang bulat dan besar memberikan aku gambaran itu. Bukan sesuatu yang luar biasa pada masa sekarang bagiku. Mata-mata golongan perempuan terlalu mudah tertarik pada kilauan harta. Sebab itulah besar. Walaupun bukan semuanya begitu. Yang lelaki pun ada. Yang lelaki macam perempuan pun ada. Fikirku. Aku senyum lagi.

“Ya dik, nak beli ikan kembung? Ni baru dari laut lagi ni”

Penjual bernombor tiga menegurku. Aku senyap, menggeleng-gelengkan kepala sebelum beralih ke gerai sebelah. Masih juga ikan Kembung yang dijual. Aku berjalan lagi sambil memerhatikan gerai-gerai yang aku lalui. Langkahku terhenti saat aku tiba di gerai bernombor sembilan. Ikan yang dijual di situ menarik minatku, badannya panjang dan muncungnya tirus. Setelah ku amati, aku pasti itu ikan barracuda atau alu-alu.

Fikiranku menerawang lagi. Gigi Si Alu-alu yang tajam dan kerakusannya benar- benar terkenal dalam kalangan masyarakat, terutama nelayan. Aku mencari-cari persamaan Alu-alu dengan manusia. Banyak yang terlintas diakalku. Bapa ayam? Mungkin. Atau mungkin juga lelaki mata keranjang. Atau kasanova. Atau gigolo. Tapi siapa yang paling tepat dengan Si Alu-alu? Aku merenung dalam-dalam muncung Alu-alu yang diletakkan di atas gerai yang basah itu.

Masih lagi aku bingung. Aku garu kepala dan akhirnya berjaya mencuri sesuatu dari putaran akalku. Alu-alu persis benar dengan orang tua kaya yang meratah tubuh-tubuh anak-anak gadis dengan hamburan wang. Bukan aku tak tahu, banyak orang kaya yang rambutnya sudah dua warna, bersikap seperti itu. Jika tidak, masakan banyak kegiatan pelacuran ‘halal’ yang tumbuh di daerah ini. Orang kenamaan pun ada fikirku. Yang berpangkat tinggi dan disegani masyarakat pun ada. Biarlah, kubur nanti berbicara juga pada mereka. Aku senyum lagi. Tidak ada yang tidak adil jika berfikir tentang pembalasan di sana.

Aku teruskan langkah, sesekali aku memandang kepada para penjual ikan. Ada yang kurus, ada yang gemuk, ada yang tinggi dan ada yang pendek. Begitu bervariasi. Sesekali terdengar penjual ikan menyanyi-nyanyi nasyid saat aku melintas ruangannya. Mungkin mahu mencuit hatiku setelah melihat aku berkopiah. Atau mungkin mahu menyindir aku untuk menguji imanku. Aku hanya membisu dan berlalu. Malas hendak ku layan omongan remeh seperti itu. Aku hanya diuji dengan sindiran-sindiran. Belum dilontar dengan batu. Belum disimbah dengan air tahi. Syukur.

Di hujung lorong, aku membelok ke kiri kerana hanya di situ jalan yang ada. Mataku meliar melihat-lihat ikan yang dijual. Sesekali mataku terpandang wajah-wajah pembeli ikan. Ada gadis cantik, ada ibu tua, ada lelaki tua, ada ‘lelaki cantik’ dan macam-macam lagi.

Langkahku berhenti saat aku tiba di gerai bernombor dua belas. Ikan yang dijual di situ begitu pelik bentuknya bagiku. Badannya lebar seperti layang-layang. Matanya kecil dan ekornya panjang ke belakang. Di belakang badannya berwarna kelabu dan terdapat bintik-bintik bercorak.

“Pari! Pari! Satu potongan satu ringgit. Adik nak beli Pari?” Teriak penjual nombor dua belas.

“Ini ikan Pari ke bang? Macam mana nak masak ikan ni?” Aku bertanya kerana betul-betul tak tahu.

“Buat barbeku boleh, masak santan pun boleh. Tapi ekornya tak boleh masak, tu senjata Pari. Adik nak berapa potong?”

“Tak apalah bang, saya tanya sahaja”

“Ala, belilah dik. Murah ni”

“Tapi saya tak tahu nak masak”

“Adik makan sahaja. Mak yang masak” Penjual itu ketawa sebaik sahaja berbicara begitu.

“Lain kali ya bang” Ujarku selepas turut sama ketawa tadi.

Semasa memandang ikan pari sambil melayan kata-kata penjual bernombor dua belas, kepalaku turut sama berputar. Ikan pari badannya lebar dan ekornya tajam, diguna sebagai senjata. Mungkin juga untuk serang hendap. Tiba-tiba Aku teringat tentang Steve Irwin. Dia adalah insan yang terkorban pada hujung duri pari. Aku pernah terbaca tentangnya, meskipun aku tidak dapat gambaran tentang ikan pari ini. Yang ku tahu ia ikan yang tenang dan lembut.

Steve Irwin dikagumi dunia kerana dia sudah berjaya menawan buaya, biawak, ular dan banyak macam haiwan ganas dan berbisa yang lain. Tapi kesudahan nyawanya berakhir kerana tusukan ekor pari yang dikatakan lembut. Pari? Persis dengan seorang temanku di kampus dahulu. Orangnya kelihatan baik, sopan-santun dan rajin ke masjid. Tapi dari dekat aku melihat, jiwanya umpama pari yang punya duri terselindung.

Bukan aku suka-suka berfikir begitu. Semua telah aku alami sendiri dengan temanku si Pari ini. Semasa berhadapan dengan khalayak, bicaranya cukup terjaga, kelihatan menghormati yang lain dan ada ketikanya kelihatan seorang pendengar dan penasihat yang bijak. Hakikatnya, semua itu kelembutan palsu seperti Pari. Dia sering benar merendah-rendahkan insan-insan di sekelilingnya apabila berada di belakang. Malah keburukan insan-insan ini juga ditambah-ditambah dengan sedikit untaian fitnah agar ceritanya lebih dramatik. Syukur kerana aku tidak perlu bertemu si Pari ini lagi. Telingaku sudah benci mendengar omongan-omongannya. Persis si Pari yang akan menikam saat disangkakan ia binatang yang lembut.

Aku teruskan langkahku.

2 comments:

Anonymous said...

cikgu!! besh bha cikgu ponya crita... haha..

Anonymous said...

cikgu... besh cita cikgu...

d klas.. cikgu xmow crita aa..

huhu.. xpa.. haha,..

gud luck in pelajaran ya cikgu..

kalo cikgu da kwin...
pgil kmi klas 4 e.. ya..

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum