Saturday, July 26, 2008 | By: Yusuf Nur

1/6 Cerpen Anthony


Anthony termenung seketika sebelum mencari-cari ruang di kepalanya untuk menulis lagi. Hatinya sakit melihat hujah-hujah bertaip yang ditinggalkan seorang pengunjung di dalam laman blognya. Dahinya berpeluh kerana benar-benar terpukul dengan bait-bait perkataan yang ditulis orang itu kerana dia tahu penulis itu seorang yang terpelajar kerana mampu membaca fitnah yang dia reka. Sememangnya Anthony sendiri ragu-ragu menulis seperti itu di dalam blognya tapi dia perlu meluahkan rasa tidak puas hatinya kepada mereka-mereka yang menjengkelkan. Hatinya sakit kerana mereka-mereka itu terlalu rajin berusaha dan tidak seperti dirinya yang menulis, menulis dan menulis selain mengumpul wang dari tulisan itu sebelum berlindung di belakang bapanya, seorang ahli politik yang disegani di daerah mereka.

Yang saya hormati, tuan empunya blog. Saya tidak tahu, samada mahu memberi salam atau tidak kepada tuan kerana saya tidak tahu tuan ini Islam atau tidak. Salam sejahtera saya ucapkan. Berhubung dengan penulisan tuan pada topik Disember 2004, tuan membicarakan tentang bangsa itu, yang mengaut semua keuntungan di negeri ini dengan menggunakan tipu helah dan penipuan.

Tuan berbicara seolah-olah tuan itu memang mengkaji sedalamnya tentang bangsa itu. Tetapi apabila saya membaca pada ruangan contoh yang tuan berikan, langsung tidak munasabah untuk naluri saya menerima. Hal ini kerana tuan mengatakan bahawa tuan telah ditipu oleh kawan tuan sendiri daripada golongan bangsa itu melalui perniagaan. Saya tidak melihat nama satu syarikat dan nama satu individu pun yang tuan tulis. Tuan terlalu prejudis dalam penulisan. Atau mungkin, tuan hanya mahu mereka-reka cerita agar bangsa itu, yang juga bangsa kami dipandang keji. Jika benarpun contoh yang tuan berikan, laut tidak boleh kita tafsir dengan hanya mencedok gelas di tepi pantai.


Begitu tulisan yang ditaip oleh Rahim setelah terbaca pada satu blog secara tidak sengaja kerana mencari maklumat tentang bangsanya. Hatinya terhiris dengan kata-kata penulis blog itu melalui penulisannya. Rahim tidak pernah berdendam dengan sesiapa. Ibu bapanya mendidik dengan beralaskan agama Islam yang syumul. Dia dilarang membenci insan lain sejak dari kecil lagi. Yang diperjuangkannya bukan assabiyah, dia cuma mahu bangsanya tidak dipandang hina kerana dilahirkan dengan kerajinan yang luar biasa. Setiap bait-bait tulisan yang menghiris itu ditulis seseorang yang langsung tidak dikenalinya. Hanya Anthony yang digunakan penulis itu selain turut disenaraikan tahap akademiknya, seorang sarjana lepasan universiti.

Sebenarnya saya selaku anak jati tanah ini begitu tersinggung dengan sikap dan perangai bangsa itu. Mereka telah merampas hak peribumi bangsa kita dengan paksa melalui penipuan dan penyelewengan. Buktinya lihat sahaja tanah di Utara, di Selatan, di Barat dan terutama sekali di Timur. Semuanya sudah mereka rampas. Adakah itu hak mereka? Tidak! Saya tidak akan biarkan mereka merosakkan tanah ini.

Saya tahu mereka itu merampas tanah ini dengan penipuan. Saya ambil contoh seorang kawan saya yang datang dari bangsa itu. Kami telah membuka perniagaan bersama-sama. Pada awalnya kami berkongsi modal. Keuntungan juga telah kami sama-sama kongsi dengan perniagaan yang maju. Akhirnya, saya telah dibelot oleh kawan saya itu dengan membawa lari semua duit simpanan. Saya sungguh marah dengan perbuatannya. Tapi apa yang mampu saya lakukan? Saya hanya mampu merima takdir bahawa bangsa itu memang hidup begitu.


Badan Anthony masih panas. Dia menekan keypad telefon bimbitnya. Mencari-cari nama seseorang. Setelah nama yang dicarinya ditemui, lantas dengan pantas tangannya menekan kekunci untuk mendail.

“Tuut. Tuut”

“Hello, ya Anthony. Ada apa lu call ni?” suara di hujung talian menyapa. Pelat Cina jelas kedengaran pada suara itu.

“Ada orang balas kata-kata saya dalam bloglah Lim. Dia seperti orang berpelajaran”

“Apa lu mahu takut? Lu pun sekolah tinggikan?”

“Yalah, tapi ini cerita kita buat-buat, nanti orang tahu”

“Lu tak cakap, mana orang tahu”.

Perbualan itu berhenti di situ. Anthony meneruskan gerakan jejarinya menaip pada papan kekunci komputernya. Banyak yang mahu dia tulis. Betul kata Lim, orang takkan tahu kalau dia sendiri tidak membuka rahsia. Dia mesti membersihkan pemikiran bangsanya supaya berfikir sepertinya. Menegakkan hak meski jalannya terpesong. Hak dirinya adalah untuk memburukkan bangsa itu supaya usaha dan kejayaan mereka luntur sekaligus membantu makhluk yang menggajinya menulis. Hak bangsanya adalah supaya mereka tahu, ada pejuang sepertinya. Pejuang yang gah dengan kata-kata bersama kocek yang melimpah.

Assalamualaikum tuan yang memberi pendapat. Sebenarnya tidak menjadi masalah kepada saya untuk mendedahkan individu atau kawan saya yang menipu saya itu. Tapi tuan harus faham, ini soal maruah dan harga dirinya. Saya tidak mahu mendedahkan aib orang. Tuan sendiri orang Islam, seperti saya, meskipun saya masih baru. Kita tidak pernah disuruh-suruh untuk mendedahkan aib orang.

Saya harap agar tuan pemberi pendapat ini, berfikir dahulu sebelum menulis di dalam blog saya. Jangan terlalu memandang serong kepada tulisan saya. Jadikanlah ia sebagai iktibar agar tuan dapat mengubah seluruh bangsa tuan supaya menghargai hak orang lain. Jangan menipu atau memperdaya kami lagi.


Selesai sahaja Rahim membaca tulisan itu, dengan pantas tangannya menekan-nekan papan kekunci komputernya. Satu demi satu perkataan yang singgah di kepala Rahim dicernakannya menjadi tulisan-tulisan times yang italic dalam blog itu. Dia terkejut kerana Anthony itu rupanya seorang Muslim. Sebelum ini, Rahim langsung tidak menjangkakannya seorang muslim. Nama Anthony sahaja sudah cukup menggambarkan siapa dia. Rupa-rupanya tanggapan itu silap. Seluruhnya.

Rahim dapat mengagak sesuatu daripada tulisan Anthony yang terakhir. Ada sesuatu yang tidak benar sedang diperjuangkan oleh penulis itu. Rahim sendiri tidak tahu mengapa nalurinya kuat menyatakan bahawa penulis itu pendusta. Mungkin kerana bangsanya diperlakukan sebegitu. Dihina dan dikeji oleh penulis itu dan boleh jadi, difitnah seterangnya. Rahim harus menegakkan kebenaran yang dia rasa perlu. Bukan kerana dia ego, tetapi dia harus meletakkan yang benar sebagai asas dan biarkan yang dusta tenggelam.

Waalaikumsalam tuan empunya blog. Tuan sendiri faham bagaimana tanggungjawab kita sebagai seorang Islam. Kita dilarang memburuk-burukkan orang, apalagi memfitnah. Mungkin tuan tidak pernah terfikir dengan fitnah yang tuan lontarkan itu, bakal tuan telan sendiri. Jika tuan tidak menerimanya di sini, saya pasti tuan akan mendapatnya di sana.

Saya akui, bangsa kami memang datang sedikit lewat berbanding bangsa tuan. Tetapi mengapa itu harus tuan jadikan persoalan? Mengapa tuan tidak mempersoalkan mereka-mereka yang bermata sepet yang datang lebih lewat daripada kami? Apakah tuan sudah buta tentang kerakusan mereka merobek tanah ini?Bangsa saya Islam, dan tuan sendiri Islam. Terlalu sukarkah untuk menerima saudara seIslam tuan sendiri? Lagipun, adakah tuan mengkaji sejarah? Tanah di Timur, kami yang buka. Jauh lebih dahulu daripada kawan-kawan sepet tuan.

Anthony termenung. Bait-bait ayat pengunjung itu betul-betul mengganggu perasaannya. Jantungnya berdegup kencang ketika membaca yang tertulis. Akalnya mati untuk membantah. Dihirupnya dalam-dalam rokok yang tinggal sepotong di bibirnya. Kemudian dihembus kuat-kuat bersama keluhan berat yang disengajakannya. Dia sememangnya tidak tahu dengan sejarah tanah di Timur. Dia cuma tahu bahawa hatinya sakit dan perit melihat bangsa itu rajin. Menguasai perniagaan dan perkhidmatan di negerinya. Hatinya cemburu kerana kulit mereka sama tapi mereka lebih rajin sehingga setanding dengan si sepet.

Dengan berhati-hati, jejari Anthony digerakkan untuk menaip setiap perkataan. Gerakan jejarinya kali ini lebih perlahan menunjukkan betapa dia berhati-hati mengeluarkan hujah. Bimbang niatnya terhidu oleh masyarakat maya yang lain. Akalnya ligat berfikir mencari-cari idea yang mungkin untuk mematahkan setiap perkataan pengunjung blognya itu.

0 comments:

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum