Thursday, July 24, 2008 | By: Yusuf Nur

Secebis dari Alif, Ba, Ta





Alif

Subuh itu begitu tenang dengan bunyi cengkerik yang berirama serta sapaan embun dingin yang menyentuh kulit. Rizwan bergerak perlahan-lahan menyusuri denai kecil di pinggir kampung yang menghubungkan rumahnya dengan masjid. Lampu suluh di tangannya digenggam erat kerana hasutan dingin subuh. Langkahnya diatur secara berhati-hati kerana bimbang kalau-kalau terpijak duri semalu yang menghias tepian denai di situ. Setelah beberapa minit, pandangan matanya mula tertangkap pada kilauan lampu masjid kampung yang malap dan berwarna sedikit jingga. Langkahnya dipantaskan saat dia mula melihat cahaya itu. Kali ini dia tidak mahu mengalah lagi dengan Amran. Mereka sering bersaing untuk menjadi muazzin meskipun kadang-kadang hanya mereka berdua sahaja yang solat berjemaah.

Rizwan perlahan-lahan menolak pintu pagar masjid. Bunyi yang kurang enak menyapa telinganya kerana geseran karat. Pintu itu sudah berkarat dan keseluruhan pagar juga begitu. Sudah usang dimakan masa. Sejak Rizwan kecil dan mula ke masjid, dia tidak pernah melihat masjid itu diperbaharui. Ahli Jawatankuasa Masjid bertukar silih-berganti namun keadaan masjid masih tetap seperti itu. Rizwan tidak peduli dengan mereka-mereka yang sendiri jarang menjejak ke masjid ini. Dia hanya mahu solat dan melakukan ibadah lain.

Dia bergerak ke arah paip air di tepi masjid untuk mengambil wudhuk sebelum satu demi satu bahagian wajib dibasahkan dengan air subuh yang dingin. Seusai itu, Rizwan bergerak ke dalam masjid. Ketika tangannya baharu sahaja membuka pintu masjid, terdengar bunyi pintu pagar dibuka. Rizwan berpaling dan melihat Amran sedang masuk ke perkarangan masjid.

“Assalamualaikum” Amran memberi salam.

“Waalaikumsalam, lewat hari ni? Aku yang azan ya?”


Ba

Fatihah sudah bangun sejak subuh tadi. Suara azan yang dialunkan mengejutkannya untuk solat subuh. Satu-satunya rumah banglo yang berdiri di tengah-tengah kampung menjadi milik keluarganya hidup, sebaik sahaja subuh menjelang. Meskipun rumah itu besar dan orang di dalamnya hidup senang, ketaatan kepada perintah agama tidak pernah dikurangkan. Bapanya yang juga merupakan penghulu kampung, sendiri selalu ke masjid untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah. Semua ini berlaku selepas peristiwa lima tahun lalu, saat ayahnya bertemu dengan seseorang yang datang sendiri ke rumah untuk mengajak ke masjid.

Fatiha terdidik benar dengan suasana itu. Pernah satu ketika, sewaktu Fatiha masih belajar di Kolej Suaseta dahulu. Waktu itu hanya dia sahaja yang orang Melayu dalam satu bilik dengan muatan 4 orang pelajar. Rakan serumahnya terdiri daripada dua orang Cina dan seorang lagi India. Ketekunannya sebagai orang Melayu dan Islam tidak pernah menggugatnya untuk sama-sama dengan rakan sebiliknya yang bijak-bijak tapi bergaul bebas dengan rakan-rakan antonim jantina.

“Ayya, Tiha. Lu kenapa tidak mahu join kitaorang? Ini benda bukan mama dan bapa kita tahu. Supportinglah sikit”

‘Ramah’ rakan serumah Fatiha, Ah Moy mengajak Fatiha keluar untuk keluar bersiar-siar pada satu malam. Fatiha tahu, dia harus menjaga diri demi nama baik keluarganya. Dan yang paling penting untuk menjaga dirinya sendiri daripada hanyut dalam kehidupan yang berfoya-foya. Fatiha tdak tahu rakan-rakan sebiliknya pergi ke mana saat-saat malam di pertengahan. Dia tidak mahu berfikir tentang itu. Meski mereka hanya balik saat embun sudah menitik di dedaunan.


Ta

Air pada parit kecil itu mengalir perlahan-lahan bersama sedikit kelodak. Pada penghujung parit kecil bersambung dengan tanah bendang yang memuatkan padi-padi yang menghijau, seakan hamparan permaidani yang indah. Sesekali kelibat burung pipit melintas di tengah-tengah kehijauan. Amir hanya memerhatikan keadaan itu dengan tenungan kosong. Akalnya ligat bermain sekitar perkara yang berlaku pagi tadi. Kedatangan Tauke Wong betul-betul membuatnya rasa bersalah. Hendak diluah, mati mak. Hendak ditelan, mati bapa. Amir keliru dengan pilihan yang dia ada. Tanah itu miliknya. Warisan yang diterimanya daripada arwah Pak Cik Hasan.

“Abang, abang menungkan apa tu?”

Tiba-tiba sahaja lamunan panjang Amir terganggu dengan satu suara lunak. Amir kenal benar suara itu. Suara yang menemaninya di saat susah dan senang, sejak mereka berkahwin sehingga tahun kelima kini.

Dari belakang, muncul isterinya Nurul bersama dengan sedikit bekalan yang dijinjing. Tanpa menoleh, Amir hanya mendongakkan kepalanya sedikit. Mentafsir langit sebelum melepaskan keluhan berat. Nurul hanya menggeleng melihat telatah suaminya itu. Nurul tahu, Amir berada dalam kerungsingan kerana tawaran yang diberikan Tauke Wong betul-betul lumayan. Nurul juga tahu, Amir sayangkan tanah itu. Itulah satu-satunya bendang yang tertinggal di dalam kampung. Penduduk kampung juga sering menasihatkan mereka supaya menjaga tanah bendang itu sebaiknya.

“Ayang, Ayang rasa patut ke kita jual sahaja tanah ni?”

“Ayang tak kisah Bang, yang penting hidup kita senang. Tapi, kalau nak diikutkan, sayang kalau kita jual tanah ni”

“Nak sayang apa pula?”

“Ni tanah warisan Bang, tanah yang kita warisi dari nenek moyang kita. Abang bukan tak tahu Tauke Wong tu. Dia tu orang luar Bang. Kita tak tahu apa yang hendak dibuat dengan tanah kita ni nanti. Entah-entah, dibuatnya pusat judi. Kita sekali ada saham kat akhirat nanti”

“Habis tu, nak tolak duit satu juta tu?”

“Duit, bila-bila kita boleh dapat Bang. Tapi soal warisan, tak ada gantinya”

Amir termenung seketika. Memang benar kata-kata isterinya itu. Di dalam hati dia setuju dengan pendapat tersebut dan bertekad untuk mempertahankan tanah warisan itu. Lagi pula, Tauke Wong itu sememangnya orang luar. Dari cerita orang, ada yang mengatakan bahawa Tauke Wong baru lima tahun di Malaysia tapi sudah mendapat taraf warganegara. Amir bertambah nekad. Tanah itu harus sentiasa dijaga.

(alif, ba, ta = agama, bangsa, tanah air)

0 comments:

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum