Saturday, September 24, 2011 | By: Yusuf Nur

Puisi Dalam Mimpi




















Melihat langit cerah
dari tingkap rumah
yang besar dan mewah
di atas cadar satin
dan lantai marmar licin

Di dalam kereta
lelaki-lelaki berkolar
asyik ceria
kerana jalan sempurna
cukai yang tiada
dan gaji munasabah

Anak-anak kecil
yang dahulu peminta sedekah
berbaju sekolah gembira
dan ibu-ibu menghantar
hingga ke hadapan rumah

Rumah-rumah kampung
separa reban sudah lenyap
petani berumah sederhana
berbaloi keringatnya

Di seluruh negara
hilang istilah rasuah
tak ada definisi kroni
semua politikus
berjiwa amanah
adil dan saksama
rakyat pula sejahtera

Di sini gembira
aman dan bahagia
sebelum mimpi terjaga
terjatuh di lantai rumah murah
berharga banglo sebuah


Yusuf Nur,
10.31 a.m
23 September 2011
Thursday, September 8, 2011 | By: Yusuf Nur

Satu Petang Di Matupang

Mentari yang tersenyum pergi
mengintai dari kaki langit
mahu mengundur diri
bias jingganya berseri

Hutan menghijau
dan hujan yang baru berhenti
terjejak kabus di perbukitan
dan anak-anak kecil di pinggir jalan

Semua bercerita
dalam tenang
membuang lelah yang dipungut
dari jalan yang panjang
semua tenggelam
saat kutiba di Matupang


Yusuf Nur
4/9/2011
5.55pm, Matupang Jaya
Friday, June 3, 2011 | By: Yusuf Nur

Memorandum Persatuan Pencuri Ayam



















Kami ahli-ahli persatuan
pencuri ayam
tinggal di dalam kampung
jambatan tak siap
orang biasa tapi berwawasan

Kami memohon
jangan kami ditahan
kerana hidup ini susah
mahu cari makan
tanah kampung jadi milik tuan-tuan
saudara-saudara dan kawan-kawan
pilihan

Mohon juga ada perubahan
jambatan kampung tak siap-siap
sukar untuk curi ayam
jangan hanya sayang pencuri besar
orang kampung juga berperasaan

Tolong lawat masjid kami
mana rosak minta perbaiki
jangan setakat derma masuk tv
supaya nanti satu masa
saat Tuhan tidak dilupa
ada tempat kita berjemaah.


Yusuf Nur
Suara Dari Negeri TERMISKIN dengan Aset Tetap kedua TERMAHAL!
Bawah kolong rumah buruk di pinggir bukit.
1 Jun 2011

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum