Tuesday, March 10, 2009 | By: Yusuf Nur

PPSMI Serampang Dua Mata Yang Tumpul










Polemik isu PPSMI masih lagi berterusan. Terkini himpunan mansuh PPSMI yang mengundang kontroversi telah berlangsung. Satu pihak mengatakan ia satu perbuatan yang mengikut emosi manakala di satu pihak lagi mengatakan ia adalah salah satu langkah untuk membuka mata agar bahasa Melayu tidak dipinggirkan. Apapun alasannya, himpunan ini dilihat sebagai satu ledakan kemarahan rakyat, yang dipacu sendiri oleh para ilmuan dan cendekiawan yang sudah terbukti selama ini memperjuangkan bangsa dan masyarakat.

Soal PPSMI, sebenarnya terdapat dua isu yang besar tapi sering disatukan dalam hujah puak yang mempertahankan PPSMI. Pertama tentang soal belajar Bahasa Inggeris, yang dikatakan terlalu perlu agar dapat mengejar kemajuan, pembangunan dan lebih bernasib baik, mungkin dapat mewarisi kebudayaan Barat yang agung dan penuh dengan Sains, teknologi dan kemajuan lain. Kedua, isu pencapaian Matematik dan Sains itu sendiri. Golongan pencadang berhujah PPSMI itu perlu kerana Bahasa Inggeris dilihat sebagai bahasa yang paling sesuai kerana banyak istilah dalam Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris.

Dikatakan bersifat serampang dua mata, PPSMI diwar-warkan adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kedua-dua isu tadi selain menjadi penentu generasi masa hadapan. Berdasarkan alasan itu, PPSMI ini kelihatannya begitu mulia dan bertujuan baik. Memang tidak dapat disangkal, tujuan PPSMI itu mulia iaitu ingin melahirkan generasi masyarakat yang berilmu dan berwawasan setanding dengan generasi yang bertamadun dan beracuan seperti yang digapai Barat. Namun begitu, isu pokok yang harus dilihat ialah bagaimana dan sejauhmana pelaksanaan PPSMI itu mampu membantu generasi pelapis negara ini untuk mencapai tujuan tadi.

Yang pertama tentang isu mendalami bahasa Inggeris. Diakui bahawa Bahasa Inggeris itu adalah bahasa Sains dan Teknologi terutama sejak letusan teknologi perkomputeran yang melanda dunia di penghujung abad ke 20. Di dalam situasi kontemporari dalam negara, bahasa Inggeris juga dilihat menjadi keperluan sebagai salah satu aset untuk terjun dalam dunia pekerjaan terutama yang berkait dengan perkhidmatan dan perniagaan. Tidak boleh berkata tidak, alasan kepentingan bahasa Inggeris harus juga diterima. Hal ini tidak bermakna PPSMI itu adalah tindakan terbaik. Hal ini dapat dilihat dari sudut pendidikan. Mata pelajaran yang penting biasanya akan memperoleh waktu belajar yang lebih berbanding mata pelajaran lain yang kurang penting. Ia bertujuan memberikan pelajar masa yang lebih untuk belajar ilmu tersebut di dalam kelas, sekaligus dapat mendalaminya. Di dalam isu PPSMI, kaedah ini tidak digunakan. Lebih pelik, bahasa Inggeris diserapkan pula dalam mata pelajaran lain. Kenapa tidak ditambahkan sahaja masa untuk belajar bahasa Inggeris itu? Jika terlalu terdesak, jadikan sahaja hari Sabtu sebagai hari sekolah agar masa untuk belajar bahasa Inggeris dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 3 jam setiap hari secara purata.

Alasan kedua mengatakan bahawa bahasa Inggeris itu adalah bahasa untuk Sains dan Matematik. Hal ini memang benar kerana Sains dan Matematik banyak menggunakan istilah-istilah bahasa Inggeris. Namun begitu, keperkasaan bahasa Inggeris ini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengagungkannya sebagai bahasa tunggal yang unggul dan wajib dipelajari, apa lagi jika menjatuhkan hukum, sesuatu ilmu pelajaran itu perlu menggunakan bahasa Inggeris agar boleh dipelajari. Tindakan ini sebenarnya secara tidak langsung menafikan golongan profesional dan berjaya yang lahir sebelum PPSMI selain memperkecilkan fungsi bahasa Melayu untuk bersaing sebagai bahasa ilmu. Kenapa tidak digandakan sahaja usaha, supaya bahasa Melayu juga mampu setanding dengan bahasa Inggeris. Misalnya, tingkatkan usaha-usaha penterjemahan dan pembentukan istilah Matematik dan Sains itu ke bahasa Melayu. Sejarah membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa dinamik dan mudah untuk berasimilasi dengan bahasa lain. Kenapa tidak mahu mengambil iktibar daripada itu? Pada masa ini, bahasa Melayu merupakan bahasa yang keempat dalam senarai bahasa dunia berdasarkan jumlah penutur. Kedudukan ini sudah pasti akan jatuh kerana waris penutur sendiri sudah ada yang mula bosan untuk melenturkan lidah dengan bahasa yang sopan, lembut dan berbudi bahasa ini. Lebih teruk, ada segelintir yang tidak sedar, mereka sudah membina istana yang tak sempurna dari nisan bahasa Melayu yang ingin dimatikan!

LUAHAN UNTUK KITA

Cuba melihat ke kanan
tapi mata ke kiri
cuba-cuba mentafsir di hujung jalan
kaki berdarah terpijak batu tajam
mencanang bangga bahasa untuk ilmu
memijak kepala sendiri
lupa menjunjung pertiwi

(liuk lentok tipu lidah, dirakam ditelinga, jadi kiblat yang membuta)

Dongeng yang penjajah tinggalkan
bukan tunjuk panduan
potret ini dihias dengan warna
yang dilukis oleh sejarah
belajar, berfikir dan berakallah
sebagai manusia, yang berbangsa!

Tamadun ini kita bina
dari roh dan jiwa
jangan sampai mengeluh nanti satu masa
kenapa tak berbangsa?
baru mahu mengorek sejarah
di mana bangsa bermula
dari bahasa!
rupanya bukan dari cuba-cuba.

(diubah suai dari sajak: Aku sedang marah 2)


Yusuf Nur, Pena Pustaka Seni, UMS.

7 comments:

LokmanHakim said...

- Ada yang kata Melayu susah nak belajar yang susah-susah...
- Sebab Melayu hanya nak yang senang-senang
- Nak yang ada depan mata, tidak ada usaha...
- Fikir-fikirkan lah untuk nasib anak bangsa kita...
- Nilai Melayu adalah kerana bahasanya...
- Kerana bahasa kita dikenali sebagai Melayu...
- Kini hanya tinggal Melayu fizikal...
- Bahasa dan gaya hidup langsung tidak ada kemelayuannya...
- Sedih... Sedih, Memang SEDIH...
- Sedih dengan Orang Melayu yang mengaku Melayu tapi layu dan terus layu memperjuangkan Bahasa Melayu dan Melayu...

Yusuf Nur said...
This comment has been removed by the author.
Yusuf Nur said...

Paling bacul yang sanggup diamkan diri walaupun tak setuju. Takut gaji turun dan pangkat tak naik. Mcm donloks ckp: sembunyi mcm pondan.

Adry said...

Anti PPSMI

Aloy Paradoks said...

yup,,,,gua sedar akan kepentingan bahasa inggeris,,,namun dlm masa yg sama gua sedih melihat kemusnahan bahasa melayu....

Anonymous said...

bagi saya, apa2 pun bhs yg kita belajar, yg penting jgn lupa bhs melayu.
mgkin satu kelebihan klo kita belajar bhs lain. sifat rajin berusaha. yg menyebbkan kita berjaya, bukan faktor belajar bhs org lain.

marzahrah said...

bagi aku yg penting diri kita sndiri..bljr bahasa apa sekalipun ..wlu d mana kt berada..asalkan kt tak lupa dari mana dtgnya kita..

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum