Monday, May 4, 2009 | By: Yusuf Nur

Warkah Buat Jerung










Akulah pemancing
yang datang dari darat
membawa kail sejengkal
bertemu lautan luas
dari tepi pantai

Surat kutulis
untuk jerung yang ganas
memberi warkah dari tepi pantai
dari setiap ceruk darat
dari perbukitan ke tanah landai

Wahai jerung
semua ingin kau telan
dari ikan kecil hingga paus
semua mahu dimakan
dari tepi pantai ke tengah samudera
semua kau ratah dengan rakusnya

Wahai jerung
engkau buas
gigimu tajam
merobek semua yang kau idam
sedang anak-anak jerungmu
makan dari sisa-sisa
yang kau tak sempat hadam

aku tahu jerung
engkau pembantai lahap
makan apa yang kau lihat
telan apa yang kau dapat
biar kantung dalam perutmu
berat, sarat dan sendat
dengan makanan yang berselirat

aku juga tahu jerung
kau punya alasan untuk rakus
demi menjaga keturunanmu
mengutip dari kantung perut
tanpa kira yang halal dan haram

aku cuma pemancing
yang mampu memberi surat
untuk jerung, raja lautan
dalam warkah yang mungkin bernasihat
supaya semua pemancing dan hidupan
dapat nikmati adilnya lautan
untuk kita untuk keturunan
takutlah dengan Tuhan
Wednesday, April 29, 2009 | By: Yusuf Nur

Bohjan: Jangan Pilih Jalan Songsang











Matkurus: Satu filem yang mempesonakan. Lakonan mantap, grafik cantik, elemen kasih sayang yang nampak reallah Bang.

Abg Mu, Nasrul: Tak taupun ada filem ni. Best ke?

Matbuaya: Best sangat. Banyak awek-awek cantik kat dalam tu. Banyak belajar cara-cara mengurat. Saya juga dapat memperbaiki taktik mendapatkan perempuan untuk dirosakkan.

Begitulah antara komen orang awam terhadap filem terbaru Bohjan (Jangan Pilih Jalan Songsang) arahan Shamsila; pengarah muda yang berbakat besar. Filem ini adalah di bawah produksi Serkup Production Sdn Bhd. Sebelum bercerita panjang, molek kiranya jika dilihat sinopsis cerita yang menggegar di pawagam ini.

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang dua orang Bohjan yang meniti hidup di Kuala Lumpur yang penuh dengan kebusukan manusia. Cerita bermula apabila watak utama Tahir telah diliwat oleh bapanya yang bersifat binatang setelah mabuk oleh "montaku'"yang dibeli dari kedai-kedai yang secara terbuka menjualnya. Tahir telah melarikan diri dari rumah dan terjatuh cinta dengan seorang Minah rempit bernama Aza. Namun cinta mereka dinodai Aza yang curang dengan meniduri seorang Bohjan lain, Apek. Tahir yang kecewa dengan hidupnya cuba membunuh diri. Sebelum sempat dia membunuh diri, dia bertemu seorang Minah rempit lain bernama Maya. Terharu dengan nasib Tahir, Maya bersetuju untuk membunuh diri bersama-sama dengannya. Kisah dalam filem ini berakhir setelah Tahir dan Maya mati membunuh diri.

Ulasan:
Secara keseluruhan, filem ini memaparkan realiti dalam masyarakat (seperti yang diwar-warkan oleh pengarahnya Shamsila)dan dipenuhi dengan unsur-unsur mengejutkan yang boleh membuat penonton sesak nafas kerana terlalu merokok. Paparan watak dan babak dalam filem ini pula kelihatan sangat nakal namun memberi unsur pengajaran terutama untuk Minah-minah rempit dan Bohjan. Menurut pengarah filem ini lagi, beliau cuba memberikan gambaran sebenar masyarakat kepada penonton agar mereka dapat menilainya. Namun begitu, para pengkritik filem menafikan tujuan tersebut dengan mengatakan bahawa filem ini baik kerana mengajar Bohjan dan Minah rempit supaya meniru aksi-aksi di dalam filem ini yang mampu menggegar masyarakat. Dari aspek nilai murni juga, dikatakan bahawa khalayak akan mengalami kesukaran untuk menyerap kemurnian yang disulam secara halus dalam filem ini kerana penonton sendiri kebanyakannya hanya terdiri daripada Bohjan dan Minah rempit yang malas berfikir, agresif dan dungu berdengung. Walaupun begitu, diharap filem-filem sebegini bertambah banyak agar manusia-manusia yang malas berfikir akan terhibur dan mendapat jalan hidup yang sebenar.

P/S: Filem ini menang anugerah pelakon Bohjan terbaik.
hahahahahahahahaha.
Monday, April 20, 2009 | By: Yusuf Nur

Erti Seorang Sahabat










(Tanam-tanam sayur
ada semalu yang tumbuh)

Mana?
dari mana kita mula berjalan?
batu-batu kelikir yang kadang-kadang tajam
atau lembutnya rumput
hingga tanah datar yang mengajar berlari

Kelirukah kita
untuk mengumpul sembah
atau mencipta ukiran-ukiran nama
hingga lupa berterima kasih
pada secebis daya
tangan seorang manusia

Atau lupakah kita
pada tangga-tangga terbawah
yang mula kita pijak
saat mahu mula merangkak

Mari kita
berhenti berdusta
apalagi bongkak
kikis sahaja munafik
kerana nasuha tak pernah sempit
untuk kita bertaubat
sebagai hamba
dan sahabat


Untuk yang lupa tentang erti sahabat
Sepanggar, Pustaka Seni UMS.
21 April 2009
Thursday, April 16, 2009 | By: Yusuf Nur

Skrip Dekon ANGKARA














Lampu malap perlahan-lahan.

Kawasan Kelir:

Pembaca Hukuman: Adalah kamu dengan ini Mohd Hafifi Othman. Hari ini akan dijatuhi hukuman mati mandatori bersabit kesalahan membunuh dengan niat Nor Izzati Mahmod dan Wan Badri Wan Fakhri. Dengan itu, saya yang menurut perintah seperti yang termaktub dalam undang-undang akan menjalankan hukuman ini ke atas kamu. Saya dengan kuasa yang diberi ingin memohon kemaafan daripada kamu. Sesungguhnya inilah takdir yang tertulis ke atas kamu dan dengan masa yang singkat ini, saya menyeru kepada kamu agar beristighfar sebanyak mungkin kepada Tuhan yang menciptakan kamu, semoga segala dosa-dosa kamu akan diampunkan-Nya, dan semoga kamu dapat kembali dengan tenang dan tenteram ke pangkuan-Nya.

LAMPU TERANG MEMFOKUS KE ARAH PENTAS SEMULA

(sajak)
Mendongak, melihat langit-langit konkrit
yang seakan menindih
tubuh setengah mati
jatuh dalam angkara
timbang kurang waras manusia

Kulihat awan dari tingkap berjeriji
cuba lagi memujuk hati
ceria dan gembira
tersenyum dan ketawa
sebelum akhirnya melutut dan menangis
tersedak mengungkit kisah tragis

Melihat jari-jari sendiri
pernah gemuruh ditutup darah
hanya bayaran sebuah setia

Takdir bernyanyi lagi
dalam nada sumbang
mendungukan aku
yang hilang kiblat
menanti saat-saat
leher tergantung dibelitan
tali menjerut kuat

Hafifi: Namaku Mohd Hafifi Othman. Berumur 25 tahun. Tidak perlu aku berbicara panjang. Biar sahaja tembok hitam dan jeriji besi menjadi saksi, berdiri Aku yang masih bingung dengan nyanyian takdir ini.
Ia bermula saat-saat Aku bertemu dengan Nor Izzati, ya Nor Izzati yang ayu dan manis senyumnya. Aku masih ingat, waktu itu aku sedang bersiar-bersiar untuk menenangkan fikiran. Hati kecilku tiba-tiba sahaja tertarik apabila melihat sekujur anak Adam yang sendiri dan termenung di satu sudut. Sekadar ingin menghurai kekusutan di benakku, Aku mendekati dan bertanya mengapa? Mengapa dia kelihatan sedih?


Izzati: Aku sebenarnya sedang bersedih mengenang nasibku ini. Aku baru sahaja ditinggalkan oleh kekasih yang amat Aku cintai. Janji-janjinya dahulu membuat Aku menanam segunung harap, agar takdir menjodohkan kami. Setiap kali dia berbicara ingin menjadikan Aku isteri, hatiku berbunga-bunga. Dan setiap kali dia bercerita tentang masa depan kami berdua yang membahagiakan, jiwaku seakan terbang di awangan. Hakikatnya, semua janji itu adalah dusta. Dia pergi meninggalkan Aku kerana hadirnya seorang perempuan yang mungkin lebih sempurna baginya. Aku tidak pernah menyangka, pohon cinta yang Aku sirami kejujuran dituang dengan racun curang yang menghancurkan.

Hafifi: Tragis ceritanya begitu. Dia menyambung lagi.

(sajak)
Pernah dahulu dia berjanji
memberi rembulan
untuk kusimpan di riba

Pernah dahulu dia berjanji
memberi matahari
untuk membuat hidupku bercahaya

Dan aku pernah lena
dengan syair berlagu yang dia nyanyikan
membuai-buai jiwaku
sebelum dicampak janji-janji itu
menjadi sampah dan dia lupa

Dia hancurkan riwayat indah
yang kami cipta dengan cinta yang dikarang
tuntas, semua terpadam
dalam drama cinta curang

Hafifi: Dari cerita-cerita yang dia kisahkan, dari lembaran-lembaran sejarah di masa lalunya, Aku mendapat gambaran sebenar. Nor Izzati sebenarnya sudah ditinggal pergi oleh kekasih yang sangat dicintai, Wan Badri. Seorang bakal guru dan anak orang berada. Wan Badri mencurangi cinta mereka dengan memilih wanita lain. Kasihan Aku melihatnya.
Sejak hari itu, kami mula bersahabat dan sering bertemu. Sedikit demi sedikit, Aku dijajah rasa sayang pada Nor Izzati. Senyumannya, kerlingan matanya dan suara gemersik merdu miliknya membuatku tidak tenteram. Ada rasa ngilu yang indah memenuhi salur darahku. Sehingga dalam siang Aku berangan dan dalam tidur Aku bermimpi. Semua adalah Nor Izzati.
Akhirnya, setelah 3 bulan aku berkenalan dengan Nor Izzati, aku nekad memberanikan diri meluahkan rasa. Biar semua yang aku simpan bisa Nor Izzati ketahui ; betapa hakikat, Aku sudah merindui, menyayangi dan mencintainya.

Izzati: Puas sudah Zati simpan dan fikirkan. Sejak kita bertemu, Zati dapat merasakan, ada satu perasaan yang hadir saat bertemu Abang dahulu. Namun, perasaan itu Zati selalu buang jauh-jauh kerana bimbang, sejarah pedih mungkin berulang. Tapi, setelah berfikir semasaknya, biarlah Zati cuba sedaya Zati untuk menerima cinta Abang. Kerana Zati tidak dapat untuk menipu hati Zati sendiri, yang degupannya juga ada nama Abang.

Hafifi: Nafasku jadi tercungap kerana mendengar kata-kata Nor Izzati. Aku terlalu bahagia. Sejak detik itu, hari-hariku menjadi ceria. Indahnya saat itu juga membuatku tidak sedar, masa bergerak, sehingga setahun berlalu.
Satu hari, Aku membawa Nor Izzati ke sebuah restoran. Di bawah cahaya lampu yang samar-samar dan romantis, Aku ingin meluahkan hasrat hatiku padanya. Sebelum sempat Aku meluahkan rasa, Nor Izzati yang terlebih dahulu berbicara.

Izzati: Abang, sudah lama kita berkongsi cinta ini. Zati rasa, kita harus mempunyai satu ikatan yang sah Bang. Zati mahu kita bertunang. Hati dan rasa Zati berkata, sudah tiba waktunya untuk kita ikat cinta kita ini dalam tali yang lebih kuat dan erat.

Hafifi: Kata-katanya benar-benar membuatku gembira. Akhirnya, kami bertunang dalam satu majlis ringkas di rumahnya. Hatiku bertambah-tambah gembira apabila keluarganya sendiri mahu kami cepat-cepat bernikah, menjadi suami isteri. Tidak tergambar betapa riang hatiku saat itu. Semua Aku sediakan dengan penuh semangat.
Tapi, kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Perkara yang paling tidak kuingini akhirnya berlaku. 2 minggu sebelum hari pernikahanku dengan Nor Izzati, Badri, kekasih lama Nor Izzati hadir. Lelaki jahanam itu menagih semula cintanya pada Zati. Dengan kata-kata manis, dan janji-janji, Badri merayu supaya Zati menerimanya. Lelaki jahanam!
Mungkin begini bunyinya pujukan lelaki itu.

Wan Badri: Zati, sebenarnya Aku ingin memohon kemaafan darimu kerana pernah mengingkari janji kita dahulu. Hari ini Aku kembali supaya dapat kutebus janji-janjiku dahulu. Aku menyesal Zati. Aku benar-benar menyesal. Berilah Aku peluang menebus semuanya. Aku masih mencintaimu Zati. Kesilapanku dahulu sudah dibalas oleh perempuan itu. Dia sudah pergi bersama jantan lain. Aku menyesal Zati. Aku tidak dapat meneruskan hidup ini tanpamu Zati. Terimalah, terimalah Aku kembali, yang berlalu biarlah padam dalam sejarah. Aku benar-benar tidak dapat hidup tanpamu Zati. Aku lebih rela mati jika Zati tidak menerimaku. Dan sebagai bukti, jika Zati tak mahu memberiku peluang, biar sahaja Aku tamatkan nyawaku sendiri. Aku tak sanggup hidup tanpamu. Aku lebih rela membunuh diri jika penyesalanku tidak diterima.

Hafifi: Zati termakan jua dengan kata-kata insan yang pernah mengecewakannya dahulu itu. Saat yang paling menyakitkan dalam hidupku akhirnya tiba juga. Mungkin inilah yang dikatakan lagu takdir. Hatiku benar-benar sakit. Terlalu sakit seperti seribu jarum yang menusuk-nusuk dadaku. Kenapa? Kenapa Aku diperlakukan begini? Kenapa Nor Izzati yang Aku tatang dengan segenap jiwa ragaku sanggup berpaling dan menghancurkan segala harapanku? Aku tidak pernah kecewa begini.

Nor Izzati: Abang, Zati...Zati mahu memohon kemaafan daripada Abang. Zati mahu kita putuskan pertunangan ini Bang. Badri baru sahaja menemui Zati. Dan...Dia ingin kembali Bang. Dia sanggup membunuh diri jika Zati tidak menerima Dia kembali Bang. Maafkan Zati.

Hafifi: Tidak! Tidak pernah Aku diperlakukan begini! Aku, Aku tidak akan membiarkan diriku menanggung semuanya. Nor Izzati yang bertanggungjawab di atas musnahnya harapanku dan Aku akan membiarkan dia yang membayarnya!
Di luar waras akal, Aku bertindak melakukan sesuatu yang melangkaui kemanusiaan dan kesabaranku. Aku terlalu dirasuk rasa marah. Zatiiii!!!!

Nor Izzati: Abang, maafkan Zati..Jangan, jangan, jangan Bang..

Hafifi: Ya..Aku merampas nyawa Nor Izzati. Aku puas! Aku puas! Tapi, kepuasan itu hanya sementara. Oh Tuhan, Aku telah membunuh Nor Izzati, insan yang paling Aku cintai. Tidak! Aku sebenarnya tidak harus membunuh Nor Izzati. Yang harus menerima balasan ialah Badri. Ya! Wan Badri yang menjadi punca ini semua.
Waktu itu, Aku benar-benar dirasuk rasa benci yang mendalam pada jantan yang merosakkan segala impianku. Dengan hati yang nekad dan amarah yang meluap-luap, Aku mencari Wan Badri untuk melangsaikan segala hutang yang dia ciptakan. Masih jelas terakam dalam memoriku, saat-saat Aku bertemu dengan jantan jahanam itu.

Wan Badri: Aku tidak mengerti saudaraku. Nyatakan terus terang kerana aku benar-benar tidak mengerti. Aku tidak bersalah.

Hafifi: Ahhhhrgghh Tidak! Kenapa dia tidak mengaku? Dia yang mencipta cerita ini!

Wan Badri: Kau tidak sepatutnya menyalahkan aku dalam hal ini. Zati sendiri yang bersetuju kembali kepadaku. Kasihan Kau. Mungkin dia pergi darimu kerana Kau tidak pandai menjaga hati dan memahami perasaannya. Lantas, dia pergi kepadaku.

Hafifi: Kata-kata Badri itu benar-benar meletupkan marahku yang memang sedia mendidih! Aaarrrrrghhh!

Wan Badri: Nanti...nanti...nanti..dulu sahabatku. Arg...argh..argh.

Hafifi: Setelah Aku membunuh keduanya, Aku jadi puas. Segala amarah yang memenuhi jiwaku sudah Aku lepaskan. Namun, sedetik demi sedetik, perasaan bersalah pula mula hadir dalam hatiku. Hingga segenap sudut yang terpandang oleh mataku, Aku melihat ada bayang-bayang Zati dan Badri. Keduanya merayu-rayu supaya Aku bertanggungjawab di atas kematian mereka.
Dilitupi rasa bersalah, Aku menyerah diri kepada pihak Polis. Aku sudah tidak sanggup menanggung segala tekanan yang memberat dalam dadaku. Aku menolak untuk dibicara dan mengaku , Akulah yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu.
Menghabiskan waktu-waktu singkat terakhirku di dunia, Aku sempat menulis tentang kisah yang Aku lalui ini.



P/S: Skrip ini telah diedit berdasarkan karya asal si OPIE.

Terima kasih kepada semua warga kerja OPIE STUDIO, termasuk pE yang banyak membantu dalam pementasan DEKON pertama yang aku sertai.
Thursday, March 26, 2009 | By: Yusuf Nur

Surat Untuk Raja Di Busut













Jangan mendongak di atas busut
cubalah tunduk melihat rumput
belajar dari hijaunya daun yang dipijak
dari bau segar rumput berselerak


Air tetap mengalir
dalam sungai
meski turun mengkocak dan menahan
dengan dua tangan
apalagi dengan hanya teriakan mulut
meski dari tapak kaki
atau di bawah ketiak
ada yang cuba-cuba mahu menyahut
jadi Pak turut

Turunlah dari langit
kita tidak selamanya di sana
belajar tentang hormat
dan menghargai
kita tidak jadi hina
jika hormati manusia

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum