Sunday, March 1, 2009 | By: Yusuf Nur

Maksum










Putih yang hitam
di hutan dan bandar

Aku maksum
tersenyum di bibir
hatimu rosak
diam, dan kau akan senang
simpan suara dan kita gembira

Aku maksum
dan kau makmum

Aku benar
dan kau jangan ingkar

Aku gembira
kau ketawa

Aku kaya
kau berharta

Tunduk
angguk
jangan geleng
duduk
diam
aku benar
dan aku benar
aku benar
dan aku benar lagi

Jilatlah kaki
kau senang mendaki
kipaslah punggung
hartamu menggunung
kerana aku maksum
dan kau makmum


01 mac 09
blok D, sepanggar.
Thursday, February 5, 2009 | By: Yusuf Nur

Pantun Mini Sabah

Dari sikuati nasi dibawa
Buat bekal kawan dan teman
Bersatulah hati bertemulah jiwa
Cinta dikekal ke akhir zaman

Pergi Sandakan ke taman buaya
Puas berjalan singgah bersembang
Orang beriman wajah bercahaya
Bagai rembulan sedang mengambang

Tawau digelar bumi peladang
Tanahnya subur buat bertani
Banyak sabar jangan temberang
Selalu bersyukur bersihlah hati

Dari Ranau jalan berturap
Beli cempedak berjalan kaki
Biar berpanau biar berkurap
Asal tidak berhati dengki


hehehe..
Pusat Sumber Sudirman, SPS, UMS.
Wednesday, January 21, 2009 | By: Yusuf Nur

Selamat Berjuang Mujahid







image from:
wowriot.gameriot.com/forums/thread/2534/4





Dalam malam yang gelap
menyusuplah engkau
dengan roket buatan tangan
tapi mampu menghancurkan
keturunan yang sombong pada Tuhan

Dalam siang yang terang
jangan engkau lari
tapi aturlah langkah
demi agama dan anak cucumu
demi maruah dan syurga yang menunggu

Jangan pernah engkau biarkan
tangan-tangan kotor Zionis
mencorak kebun di halamanmu
dengan darah dan daging
dari saudara dan teman
dari rakan dan jiran

Jangan juga kau biarkan
tangan haram itu
mencabul agama dan negara
yang kau milik dengan jiwa
yang kau waris dari sejarah

Buatmu mujahid
berjuanglah engkau terus
kerana itu hak dan kewajipanmu
sebagai manusia bermaruah
yang mencintai agama dan negara
dan jangan kau undur meski sedikit
menanglah untuk maruah
jika mati kau syahid

Yusuf Nur
09 Jan 09
Utusan Borneo, 18 Jan 09
Tuesday, January 6, 2009 | By: Yusuf Nur

Cerita Anjing Serigala


image from:
http://www.apfn.org/THEWINDS/2001/11/khazars_intro.html









Serigala itu menggigit
Selepas menyalak ke langit
mengoyak daging manusia
sebelum menjilat darahnya
mewarna bulu-bulu haram dengan merah

Mata itu juga merah
merakam naluri kejam
lahir dari keturunan yang haram
menyalak lagi
sebelum mengoyak lagi daging-daging
yang diratah hidup-hidup
tanpa belas
tanpa hiba
tanpa empati
gembira melihat manusia mati

Serigala menyalak lagi
anjing yang diam terus diam
padahal berlagak di waktu siang
sebagai penjaga ladang
ekor terturun tanda takut
sambil diam-diam mengisi perut
dengan daging sisa serigala
menambah yang sedia terhadam
dalam badan yang haram

Tiba waktu subuh
anjing mula mengangkat dagu
mahu menyalak kepada dunia
tentang kuasa yang masih ada
sumbang salaknya
hanya membantu teriakan serigala
agar semakin kuat
menyiat-nyiat kulit dan daging manusia
di ladang Gaza

(maaf jika bahasaku tak manis)
UMS, 07 Jan 09.
Monday, December 29, 2008 | By: Yusuf Nur

Gambar Kaku Bermaksud Seribu



Gambar ini ehsan KijangMas di:

http://deminegara.blogspot.com/
(hanya untuk yang sayang pada bangsa dan bahasa Melayu)

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum