Saturday, November 15, 2008 | By: Yusuf Nur

Aku, Pasar Ikan dan Tomato (cerpen penuh)



Waktu itu, hari sudah petang dan kakiku sudah letih mengelilingi bandar yang panas. Matahari masih terik membuat setiap langkahku terseksa. Habanya menyapa kulitku yang semakin gelap kerana sel-sel yang terbakar. Aku gerakkan langkah sebelum singgah di masjid di tengah bandar menunaikan solat Asar sebelum menyambung perjalananku. Merayau-rayau. Sebelum melangkah pulang, terdetik hatiku untuk membeli ikan barang sekilo dua untuk orang di rumah nanti, meskipun sebenarnya juga untukku sendiri.

Pasar ikan terletak di hujung bandar dan menghadap laut, berhampiran dengan pelabuhan. Sedikit jauh dari masjid di tengah bandar tapi aku sudah biasa dengan itu. Aku berjalan sendiri melintasi jalan raya yang sibuk sebelum meneruskan perjalanan ke pasar ikan. Aku tiba setelah beberapa minit. Saat melangkah masuk, langkahku aku perlahankan kerana bimbang dengan permukaan lantai pasar yang kelihatan licin kerana basah.

Beberapa langkah melepasi ruang masuk, aku membelok ke lorong sebelah kanan. Hingar-bingar suasana di dalam pasar dengan beberapa orang pelanggan tawar-menawar dengan penjual ikan, sementara penjual yang lain berteriak-teriak untuk kempen harga ikan jualan mereka. Aku hanya memerhati dalam diam meskipun sesetengah penjual menawarkan ikannya kepadaku.

Pada penjual bernombor tiga, aku berhenti memerhatikan ikan yang dijual. Ikan Kembung. Mata ikan itu besar, badannya licin dan cantik. Akalku menerawang. Terdetik aku untuk mencari sinonimnya dalam dunia manusia. Setelah seketika, yang kulihat sama seperti ikan Kembung adalah perempuan-perempuan cantik yang menghias kesibukan masyarakat di bandar, di kampus, di pasar, di tamu mingguan dan banyak tempat tumpuan orang. Mungkin juga ikan Kembung sama seperti perempuan yang suka memperlihatkan semua miliknya pada orang. Dengan pakaian ketat dan sendat seperti gebu dan licinnya badan ikan Kembung. Bezanya, ikan Kembung dijual dan dibeli. Pameran perempuan-perempuan itu hanya mencuci mata-mata di sekeliling sahaja. Tak berharga.




Aku ketawa sendiri. Mungkin juga ikan Kembung sama dengan perempuan berdahi licin yang tamakkan harta. Matanya yang bulat dan besar memberikan aku gambaran itu. Bukan sesuatu yang luar biasa pada masa sekarang bagiku. Mata-mata golongan perempuan terlalu mudah tertarik pada kilauan harta. Sebab itulah besar. Walaupun bukan semuanya begitu. Yang lelaki pun ada. Yang lelaki macam perempuan pun ada. Fikirku. Aku senyum lagi.

“Ya dik, nak beli ikan Kembung? Ni baru dari laut lagi ni”

Penjual bernombor tiga menegurku. Aku senyap, menggeleng-gelengkan kepala sebelum beralih ke gerai sebelah. Masih juga ikan Kembung yang dijual. Aku berjalan lagi sambil memerhatikan gerai-gerai yang aku lalui. Langkahku terhenti saat aku tiba di gerai bernombor sembilan. Ikan yang dijual di situ menarik minatku, badannya panjang dan muncungnya tirus. Setelah ku amati, aku pasti itu ikan barracuda atau Alu-alu.

Fikiranku menerawang lagi. Gigi Si Alu-alu yang tajam dan kerakusannya benar- benar terkenal dalam kalangan masyarakat, terutama nelayan. Aku mencari-cari persamaan Alu-alu dengan manusia. Banyak yang terlintas diakalku. Bapa ayam? Mungkin. Atau mungkin juga lelaki mata keranjang. Atau kasanova. Atau gigolo. Tapi siapa yang paling tepat dengan Si Alu-alu? Aku merenung dalam-dalam muncung Alu-alu yang diletakkan di atas gerai yang basah itu.



Masih lagi aku bingung. Aku garu kepala dan akhirnya berjaya mencuri sesuatu dari putaran akalku. Alu-alu persis benar dengan orang tua kaya yang meratah tubuh-tubuh anak-anak gadis dengan hamburan wang. Bukan aku tak tahu, banyak orang kaya yang rambutnya sudah dua warna, bersikap seperti itu. Jika tidak, masakan banyak kegiatan pelacuran ‘halal’ yang tumbuh di daerah ini. Orang kenamaan pun ada fikirku. Yang berpangkat tinggi dan disegani masyarakat pun ada. Biarlah, kubur nanti berbicara juga pada mereka. Aku senyum lagi. Tidak ada yang tidak adil jika berfikir tentang pembalasan di sana.

Aku teruskan langkah, sesekali aku memandang kepada para penjual ikan. Ada yang kurus, ada yang gemuk, ada yang tinggi dan ada yang pendek. Begitu bervariasi. Sesekali terdengar penjual ikan menyanyi-nyanyi nasyid saat aku melintas ruangannya. Mungkin mahu mencuit hatiku setelah melihat aku berkopiah. Atau mungkin mahu menyindir aku untuk menguji imanku. Aku hanya membisu dan berlalu. Malas hendak kulayan omongan remeh seperti itu. Aku hanya diuji dengan sindiran-sindiran. Belum dilontar dengan batu. Belum disimbah dengan air tahi. Syukur.

Di hujung lorong, aku membelok ke kiri kerana hanya di situ jalan yang ada. Mataku meliar melihat-lihat ikan yang dijual. Sesekali mataku terpandang wajah-wajah pembeli ikan. Ada gadis cantik, ada ibu tua, ada lelaki tua, ada ‘lelaki cantik’ dan macam-macam lagi.

Langkahku berhenti saat aku tiba di gerai bernombor dua belas. Ikan yang dijual di situ begitu pelik bentuknya bagiku. Badannya lebar seperti layang-layang. Matanya kecil dan ekornya panjang ke belakang. Di belakang badannya berwarna kelabu dan terdapat bintik-bintik bercorak.

“Pari! Pari! Satu potongan satu ringgit. Adik nak beli Pari?” Teriak penjual nombor dua belas.

“Ini ikan Pari ke Bang? Macam mana nak masak ikan ni?” Aku bertanya kerana betul-betul tak tahu.

“Buat barbeku boleh, masak santan pun boleh. Tapi ekornya tak boleh masak, tu senjata Pari. Adik nak berapa potong?”

“Tak apalah Bang, saya tanya sahaja”

“Ala, belilah dik. Murah ni”

“Tapi saya tak tahu nak masak”

“Adik makan sahaja. Mak yang masak” Penjual itu ketawa sebaik sahaja berbicara begitu.

“Lain kali ya Bang” Ujarku selepas turut sama ketawa tadi.

Semasa memandang ikan pari sambil melayan kata-kata penjual bernombor dua belas, kepalaku turut sama berputar. Ikan pari badannya lebar dan ekornya tajam, diguna sebagai senjata. Mungkin juga untuk serang hendap. Tiba-tiba Aku teringat tentang Steve Irwin. Jelasnya Crocodile Hunter. Dia adalah insan yang terkorban pada hujung duri pari. Aku pernah terbaca tentangnya, meskipun aku tidak dapat gambaran tentang ikan pari ini. Yang ku tahu ia ikan yang tenang dan lembut.




Steve Irwin dikagumi dunia kerana dia sudah berjaya menawan buaya, biawak, ular dan banyak macam haiwan ganas dan berbisa yang lain. Tapi kesudahan nyawanya berakhir kerana tusukan ekor pari yang dikatakan lembut. Pari? Persis dengan seorang temanku di kampus dahulu. Orangnya kelihatan baik, sopan-santun dan rajin ke masjid. Tapi dari dekat aku melihat, jiwanya umpama pari yang punya duri terselindung.

Bukan aku suka-suka berfikir begitu. Semua telah aku alami sendiri dengan temanku si Pari ini. Semasa berhadapan dengan khalayak, bicaranya cukup terjaga, kelihatan menghormati yang lain dan ada ketikanya kelihatan seorang pendengar dan penasihat yang bijak. Hakikatnya, semua itu kelembutan palsu seperti Pari. Dia sering benar merendah-rendahkan insan-insan di sekelilingnya apabila berada di belakang. Malah keburukan insan-insan ini juga ditambah-ditambah dengan sedikit untaian fitnah agar ceritanya lebih dramatik. Syukur kerana aku tidak perlu bertemu si Pari ini lagi. Telingaku sudah benci mendengar omongan-omongannya. Persis si Pari yang akan menikam saat disangkakan ia binatang yang lembut.

Aku teruskan langkahku melalui lorong yang semakin kelihatan licin kerana basah. Mungkin juga kerana bimbangku meningkat kerana kurang selesa dengan pasar yang berbau hanyir. Sudah beberapa langkah dari gerai pari tapi masih terdengar suara penjual gerai bernombor dua belas berkempen tentang ikan pari jualannya. Sesekali terdengar dia bergurau dengan disambut ketawa penggerai berhampiran.

Tiba di gerai bernombor lima belas, langkahku terhenti. Di atas gerai kulihat seekor ikan yang seakan tidak sempurna rupanya. Badannya leper dengan hujung tirus pada bahagian ekor, mata dan mulutnya pula senget sebelah. Ikan itu berwarna kemerah-merahan dan sedikit diasing dari ikan lain.

“Ikan apa ni Bang?”

“Ikan Sebelah. Adik nak beli? Adik belilah ikan Kembung ni. Saya bagi percuma ikan sebelah ni.”

“Tak apalah Bang. Saya sekadar bertanya. Ikan ni memang bentuknya macam tu ke Bang?”

“Ha’a. memang kejadiannya macam tu. Pelik kan?”

“Memang peliklah. Saya jalan dulu ya. Terima kasih”

Aku melangkah meninggalkan gerai bernombor lima belas perlahan dengan akalku yang menerawang lagi. Ikan Sebelah memang pelik kerana bentuknya yang seakan tidak sempurna. Jika dibawa ke dalam dunia manusia, yang pelik dan ada cacat pada fizikalnya, pasti akan jadi bahan perhatian masyarakat. Tidak semena-mena muncul Mak Bedah dan saudara semulut tempayan yang pasti suka dengan bahan cerita yang boleh dikembangkan seperti ini.

Kali ini aku tidak mencari persamaan ikan dengan manusia tapi hanya termenung kerana terfikir tentang perwatakan Mak Bedah, jiran sebelah rumahku yang terkenal dengan gelang emasnya yang berlapis-lapis. Mulutnya cukup terkenal kerana lebih pantas daripada CNN atau al-Jazeera. Pantang ada sesuatu yang berlaku di kampung, pasti akan jadi buah mulut untuk didedahkannya pada orang. Jikalau ada manusia seperti ikan sebelah di kampungku, sudah tentu bertambah berita utama dalam buletin Mak Bedah yang terkenal dengan moto “semua salah sebelum aku katakan benar”.

“Bilalah orang tua tu nak sedar?” Bisik hatiku.

Sedar tak sedar, aku rupanya sudah menghampiri hujung lorong dengan gerai bernombor empat belas di sebelahku. Aku bergerak semula ke tengah pasar sebelum bergerak ke hujung yang menghadap laut kerana ingin melihat-lihat ikan di situ bagi mencari yang berkenan untuk santapan malam nanti.

Masuk ke lorong yang kecil, gerai pertama yang aku lalui ialah gerai bernombor empat puluh dua. Ikan yang dijual adalah ikan-ikan batu karang. Pelbagai jenis dicantumkan dalam satu gerai tapi dijual pada harga yang berbeza-beza mengikut saiz. Warna-warna kulit ikan di situ juga pelbagai. Sesetengahnya berwarna hitam, putih, biru, hijau dan sebahagian yang lain berwarna merah, kuning, dan macam-macam lagi.

Ikan-ikan batu karang yang pelbagai jenis ini memberi mindaku inspirasi tentang betapa kayanya isi lautan. Tidak berbeza dengan spesies dan bangsa manusia yang ada di muka bumi ini. Ada hitam, putih, sawo matang, merah. Merah? Akalku berhenti, memberi ruang pada hatiku untuk melayan lucu perasaan. Tidak pernah aku bertemu dengan orang berkulit merah. Kalau kemerah-merahan, ada banyak. Yang pipinya sahaja merahpun ada. Tapi kebiasaannya akan dipakejkan dengan bibir merah yang mengkilat. Cantik, tapi bukan bagi aku. Itu palsu.

Bagiku juga, ikan-ikan yang berwarna-warni itu juga sama dengan situasinya dengan orang-orang tanah ini. Ada Melayu, ada Cina, ada India. Itu belum pecahan seperti Jawa, Haka, Bugis, Dusun, Bajau, Minang dan banyak lagi yang tak mampu aku ingati semua. Sama dengan ikan karang, bergabung di dalam gerai yang sama. Cuma sesetengah harga ikan karang itu berbeza dengan ikan yang lain.

Misalnya ikan berwarna coklat yang besar di tepi sebelah kiri gerai empat puluh dua, lebih mahal dari ikan yang sederhana besar berwarna hitam serta putih mengkilat di tengah dan kanan gerai. Mungkin ikan coklat itu lebih lama hidup di lautan dan lebih besar, maka harganya lebih mahal. Memang patut begitu bagiku. Hak ikan itu untuk dijual mahal. Saiznya juga besar.

Aku teruskan langkah lagi. Sudah beberapa minit rasanya aku di dalam pasar ikan. Belum ada ikan yang berkenan untuk aku bawa pulang. Pasti Mak akan membebel jika ikan yang aku beli sudah busuk, kecil, dan tak biasa dengan menu masakan Mak. Ah. Malas hendak aku fikirkan. Aku makan semua jenis ikan yang boleh dimakan.

Setelah berkira-kira, akhirnya aku kembali ke gerai bernombor tiga. Mahu membeli ikan Kembung yang kufikirkan lebih murah berbanding ikan yang lain tadi. Penjual bernombor tiga hanya tersenyum saat aku kembali ke gerainya. Mungkin lucu dengan sikapku yang melihat-lihat dahulu sebelum membeli. Atau mungkin juga penjual itu memang sudah dapat meneka aku akan kembali ke situ.

Setelah siap dibungkus dalam plastik berwarna hitam, aku menghulur sejumlah wang bagi membayar harga ikan Kembung itu. Setelah itu, aku bergerak keluar dari pasar ikan menuju ke stesen bas. Semasa perjalanan, aku melalui jalan singkat dengan memotong pada laluan tengah pasar sayur bagi menjimatkan masa.

Melihat ke kiri dan ke kanan, banyak sayur dijual. Pelbagai jenis seperti juga ikan di pasar yang satu lagi. Di dalam banyak jenis sayur itu, mataku paling tertumpu pada longgokan tomato yang merah dan cantik pada satu gerai. Kulit tomato licin dan sedikit berkilat memancing mindaku berfikir. Warnanya merah terang. Ada pangkal, batang dan sesetengahnya daun yang semua berwarna hijau di bahagian atas buah tomato.


Aku masih teruskan langkah menuju stesen bas dengan minda yang turut sama berputar. Tomato? Bulat? Merah? Hijau? Lembut? Rapuh? Memang tidak berbeza dengan bangsaku. Yang kelihatannya bulat dalam muafakat, punya semangat yang merah membara, tapi punya keutuhan yang rapuh dan senang berpecah-belah. Seperti tomato masak yang dicabut pangkalnya, jatuh, pecah dan berterabur jatuh di tanah.











Pangkal, batang dan daun yang hijau itu, sudah pasti seperti pegangann rohani yang bangsaku anuti. Islam sejati. Pasti bangsaku tidak mudah hancur, tidak mudah goyah apabila pangkal itu terus dipegang, terus dijadikan sandaran untuk menjadi manusia yang manusia. Fikirku, kalaulah aku ada kuasa sakti, akan kusihir buah tomato supaya akan terus kekal berpangkal hijau. Biar ia hancur lumat menjadi tanah bersama. Apakan daya, darahku merah seperti manusia biasa.

Langkah ke stesen aku teruskan. Aku berjalan dalam tekad dan senyum. Dalam sanubariku tertanam janji, yang aku akan berusaha menjadi insan berguna demi membangun agama, bangsa dan negara yang aku cinta meski aku hanya berjalan kaki ke pasar membeli ikan dan mentafsir-tafsir tomato.
Friday, November 7, 2008 | By: Yusuf Nur

Makan







Dari kaki Kinabalu
bercerita tentang makan
tentang mulut dan perut
dari lapar ke kenyang

aku makan nasi
aku makan ambuyat
aku makan buras
aku makan putu
aku makan tuhau

sedap tak sedap aku makan
dapat tenaga dalam badan
yang halal aku makan
yang haram aku tinggalkan
Thursday, October 23, 2008 | By: Yusuf Nur

Cerpen "Aiman Kisah"


“Aiman, bangun Aiman. Jom ikut Abah,” suara Abah kedengaran mengejutkan Aiman.

Pandangan Aiman kabur, Aiman gosok-gosokkan mata. Masih juga kabur. Abah masih lagi gerak-gerakkan Aiman. Aiman menggeliat supaya badan Aiman senang bergerak. Aiman bergerak ke kanan, Aiman bergerak ke kiri. Badan Aiman terasa sedikit segar. Abah masih di tepi katil Aiman. Masih sedikit kabur Aiman lihat wajah Abah. Abah dudukkan Aiman. Aiman senyum.

“Abah, kenapa Abah kejutkan Aiman awal begini?” Aiman tanya Abah. Aiman hairan kerana tidak pernah dikejutkan seawal ini. Selalunya, Aiman dibenarkan tidur lebih lama selepas selesai solat subuh.

“Hari ni, sejarah akan bermula. Abah nak bawa Aiman ke satu tempat yang Aiman mesti tengok,” Jawab Abah. Pendek.

Aiman masih bingung. Aiman bukan faham semua yang Abah cakap. Yang Aiman tahu, Abah nak bawa Aiman jalan. Memang Aiman suka jalan. Terutama dengan kereta buruk Abah. Seronok sangat. Pernah dahulu, Abah bawa Aiman pergi tempat yang ramai orang. Semua orang berkumpul dan tengok ke hadapan. Abah julang Aiman supaya Aiman turut boleh tengok di hadapan. Daripada jauh Aiman tengok ada seseorang bercakap-cakap di atas pentas. Suaranya kuat. Tidak sama caranya dengan orang yang bercakap di masjid seperti setiap kali Abah bawa Aiman semasa hari Jumaat. Di situ, semua orang bersorak bila orang di pentas mengeraskan suaranya. Bergemuruh jantung Aiman. Di masjid, Aiman tenang, Aiman rasa damai tengok orang lain semua senyap dan khusyuk. Orang yang tidur pun ada.

Baju yang dipakai Abah hari itu warna hijau. Kebanyakan orang yang berkumpul pun begitu. Baju mereka hijau. Sesetengahnya biru muda. Ada juga yang pakai baju putih dan lain-lain. Ada gambar orang, ada gambar kapal, ada tulisan yang Aiman tak faham. Aiman tak tahu pun. Tapi Aiman nampak macam lambang Ultraman sahaja. Cantik. Kalau Aiman dapat satu, Aiman suka sangat. Nak tunjuk dengan Umi.

“Hari ini kita mahu parti yang zalim dijatuhkan. Sudah cukup rakyat kita menderita!” Orang di pentas tiba-tiba berteriak.

Aiman terkejut. Mahu gugur jantung Aiman dibuatnya. Aiman tak suka dengan orang di pentas. Selalu buat Aiman terkejut.

“Abah, ‘menderita’ tu apa?” Aiman bertanya. Mahu tahu benar maksudnya.

“Menderita tu, ertinya hidup susah. Makan susah. Tidur susah” Jawab Abah.

“Oo macam tu. ‘Parti’ tu apa Abah? ‘Zalim’ dan ‘dijatuhkan’? Kita nak tolak orang ke Abah?” Panjang kali ini Aiman menyoal. Aiman nak tahu sangat. Ini masa Aiman bertanya, sebab kalau di masjid, Abah larang Aiman bercakap. Berdosa katanya semasa orang di hadapan bercakap, kita bercakap.

“Parti tu, kumpulan. ‘Zalim’ tu jahat dan ‘tolak’ ertinya kita nak orang yang jahat dan sebabkan kita menderita, tak payah jadi pemimpin kita. Kita nak mereka diganti” Abah menerangkan. Aiman mengangguk sahaja. Tanda faham. Walaupun bukan semuanya.

“Tapi Abah, ‘zalim’ tu jahat kan? Tak pernah pun Aiman tengok pemimpin-pemimpin tu pukul orang. Mereka zalim ke Abah?”

“Zalim. Sangat zalim. Aiman tak tahu. Aiman masih kecil. Nanti Aiman dah besar, Aiman fahamlah” Abah menjawab lagi tanpa memandang Aiman. Abah hanya memandang orang di pentas.

“Lagi satu Abah, kita tak susahpun. Aiman pergi sekolah senang, makan senang, tidur senang. Kenapa Abah kata hidup kita susah Abah?” Aiman bertanya lagi. Masih keliru.

“Bukan tu maksud Abah. Nanti Aiman besar, Aiman fahamlah” Abah masih tekun menjawab soalan Aiman. Tapi masih pandang orang di pentas.

Kerana bimbang Ayah marah. Aiman senyap. Tengok ke hadapan. Orang di pentas masih bercakap. Aiman bosan.

“Aiman menungkan apa tu?” suara Umi tiba-tiba menyentak gegendang telinga Aiman. Mengejutkan lamunan Aiman tadi.

Gayung di tangan Aiman terjatuh. Terkejut Aiman dengan kemunculan Umi secara tiba-tiba.

“Tak ada apa-apa Umi. Aiman nak mandi ni” Aiman tersenyum menjawab.

Perlahan-lahan Aiman menolak pintu. Bising bunyinya. Aiman masuk ke dalam dan menutup semula pintu. Aiman buka paip. Air keruh mengalir. Aiman tunggu sekejap. Akhirnya air jernih yang keluar. Tubuh Aiman dingin dek sapaan air pagi. Nikmatnya hidup. Fikiran Aiman menerawang. Aiman teringat dengan budak sebaya Aiman yang Aiman tengok di televisyen. Di Afrika kata Abah. Mereka kurus, tak terurus. Aiman syukur, sekarang Aiman dapat nikmati kedamaian. Tak ada perang, tak ada kelaparan. Selepas mandi, Umi mesti sediakan sarapan.

“Aiman, Aiman dah bersiap ke belum?” suara Umi kedengaran memanggil Aiman. Aiman berlari-lari ke arah suara Umi.

“Dah Umi, Abah dah jalan ke Mi?” Aiman menyoal meski Aiman tahu Abah masih menunggu Aiman di hadapan pagar rumah.

Kereta buruk Abah kelihatan megah pagi-pagi begini. Aiman suka dengan kereta buruk Abah. Kereta itu tak bergerak laju. Perlahan sahaja. Aiman selesa dan rasa selamat. Abah hanya melihat Aiman dari tingkap. Tangan Abah melambai. Minta Aiman mempercepatkan pergerakan. Aiman kelam-kabut memasang stokin. Umi hanya senyum tengok Aiman. Umi pernah kata dahulu, Aiman sama macam Umi masa kecil. Umi selalu kelam-kabut. Macam Aiman sekarang. Abahpun begitu. Kelam-kabut dalam semua hal. Aiman senyum dalam hati. Abah memang begitu. Abah kata, orang Melayu memang begitu.

Aiman menghampiri kereta, Aiman buka pintu kereta dan ternampak baju Abah.

“Ba, Ba, Alif, Sin” Aiman menyebut tulisan jawi yang tertulis di baju Abah. Baju Abah warna kuning. Tulisannya hitam.

“Apa bunyinya Abah?” Aiman bertanya kerana Aiman tak tahu nak baca. Di sekolah, Aiman belajar bahasa Inggeris, Aiman tak diajar tentang huruf jawi. Huruf jawi Aiman kenal sebab Aiman mengaji kat masjid. Tapi itu ada baris. Ini tak ada.

“Aiman ni, banyak tanya pula. Aiman pasang tali keledar tu.” Abah mengarah. Sedikit serius.

“Baik Abah” Aiman patuh. Hormat dengan Abah.

Kereta buruk Abah perlahan-lahan menyusuri jalan kecil di hadapan rumah. Selepas itu masuk ke jalan yang lebih besar. Aiman kagum tengok kemajuan. Aiman tak faham bagaimana orang bekerja buat semua benda dari batu, dari besi. Aiman pelik. Kereta buruk Abah pun begitu. Abah kata, kereta Abah buatan Malaysia. Namanya Proton Saga. Orang Malaysia yang buat. Aiman tumpang bangga juga. Aiman bangga orang Malaysia pandai-pandai. Tapi Abah pernah kata. Kereta Abah tak keras macam kereta Pak Mat. Kereta jiran. Kereta Pak Mat kereta import. Aiman tak suka Abah cakap begitu. Aiman sedih. Abah kata kereta Malaysia tak ada kualiti. Tapi Aiman hairan, Abah beli juga.

“Eeeeeik!”

Tiba-tiba sahaja Abah menekan brek kereta. Aiman tidak terlempar kerana menggunakan tali keledar. Rupa-rupanya ada motorsikal memotong kereta kami secara tiba-tiba. Abah menyumpah penunggang motor.

“Bodoh! Tak sekolah ke? Susah sangat ke ikut peraturan?” Abah berkata-kata keras.

“Orang tu bodoh ke Abah?” Aiman bertanya. Hairan Abah memerihalkan penunggang motor itu ‘bodoh’.

“Ya Aiman. Itulah orang bodoh. Aiman ingat lagi? Orang yang bawa motor dalam filem Remp-it? Begitulah Abah maksudkan. Orang yang tak sayang nyawa. Sanggup gadai nyawa dengan motor murah. Memang bodoh. Betul tak Aiman?”

“Betul. Betul Abah. Aiman pun tak suka. Orang naik motor nak bawa jalan-jalan. Tapi mereka buat macam Superman pula. Pelik Aiman tengok Abah” Aiman tak mahu jadi bodoh begitu. Tambah Aiman dalam hati.

Abah pandu kereta terus. Dari satu lorong ke satu lorong yang lain. Abah letak kereta di belakang satu bangunan. Abah pimpin tangan Aiman menuju satu kawasan lapang. Di situ Aiman tengok banyak orang pakai baju yang sama dengan Abah. Warna kuning. Aimanpun sebenarnya pakai baju kuning. Abah yang suruh. Aiman senyum pandang baju Aiman sendiri. Lucu. Orang Melayu lain guna tulisan jawi di baju hari itu. Aiman pula tulisan Batman. Yang tahu nak cakap Inggeris sahaja. Macam Cikgu Sally. Tapi muka Batman dan Cikgu Sally tak sama. Batman matanya biru, Cikgu Sally bermata sepet. Batman tinggal di tempat orang putih, Cikgu Sally pula orang Malaysia. Memang berbeza. Yang mereka sama, dua-dua tak tahu cakap Melayu. Aiman lebarkan senyuman. Terusik dengan kata-kata hati Aiman sendiri.



Abah bercerita dengan beberapa orang di situ. Aiman diam. Memerhati dari tepi.

“Jam berapa nak mula ni?” tiba-tiba sahaja Abah berkata pada rakan-rakan Abah.

“Sabar, tak lama lagi kita gerak” seorang tua yang berkopiah putih tiba-tiba bersuara.

Orang pula semakin ramai. Aiman tak selesa. Hampir semua orang pakai baju kuning. Keadaan semakin sesak. Perlahan-lahan, orang bergerak ikut jalan besar. Ramai-ramai teriak.

“Kami mahu kejujuran, kembalikan hak rakyat!”

Aiman bingung. Aiman tanya Abah.

“Abah, apa hak kita yang dirampas Abah?”

“Banyak Aiman, kita dah tak boleh bercakap sekarang Aiman. Kita ditangkap kalau banyak cakap” Abah kuatkan suara di tengah khalayak supaya Aiman dengar.

“Cikgu Aiman yang banyak cakap kat kelas, tak ditangkap pun Abah”

“Cikgu Aiman tu, cakap pasal ilmu, tulah tidak ditangkap” suara Abah masih kuat.

“Jadi orang yang ditangkap tu, tak berilmulah Abah?”

Abah diam. Abah merenung jauh-jauh.

“Halim, kenapa senyap? Tolonglah bersorak”seseorang tiba-tiba menyapa dari belakang.

“Yalah. Hapuskan ketidak adilan!” Abah berteriak, membantu teriakan yang lain.

Aiman senyum sendiri. Aiman seronok tengok Abah bersemangat.
Selepas beberapa ketika menunggu, tiba-tiba sahaja Abah tarik Aiman.

“Aiman, mari dekat dengan Abah. Kita dah nak bergerak cepat-cepat”.

Aiman diam. Menurut sahaja kemahuan Abah. Abah pegang tangan Aiman. Dari jauh Aiman dengar bunyi yang kuat. Semakin lama semakin hampir. Aiman tengok dari celah-celah orang. Ada van hitam yang besar. Semua orang bersorak. Mengejek-ngejek Aiman lihat. Secara tiba-tiba, van sembur air warna kuning. Abah, Aiman, dan semua di situ habis basah-kuyup. Mata Aiman pedih. Air kuning memedihkan mata Aiman. Aiman menangis. Air kuning yang disembur busuk. Aiman tak tahan. Aiman pening. Aiman hampir rebah tapi tiba-tiba Abah dukung Aiman. Pandangan Aiman hitam. Gelap.

“Aiman, Aiman bangun”

Aiman buka mata. Badan Aiman berat, mata Aiman tak mahu terbuka. Otot Aiman lenguh.

“Aiman, bangun. Dah petang ni” suara Umi mengejutkan Aiman. Aiman masih senyap.

“Aiman bangunlah, Aiman pengsan dari semalam” Abah tiba-tiba muncul dari belakang Umi. Aiman nampak mata Abah lebam. Aiman kasihan kat Abah. Lebam itu besar.

“Abah, kenapa mata Abah lebam?”

“Abah terjatuh Aiman” pendek Abah jawab.

Abah terus berlalu pergi. Mungkin ke dapur.

“Mata Abah lebam dipukul orang Aiman. Aiman jangan tanya Abah lagi. Nanti Abah tersinggung.” Umi berbisik di telinga Aiman.

Aiman mengangguk, tanda setuju dengan nasihat Umi. Aiman sayang Umi sebab Umi pandai jaga hati Aiman dan Abah.

Aiman gerak-gerakkan badan, Aiman bangun dari katil. Umi senyum pada Aiman. Aiman bergerak keluar dan melambai pada Umi. Aiman duduk dan buka TV di ruang tamu. Berita Utama sedang ditayangkan. Aiman tengok ada kebakaran, pembunuhan, dan ada banyak cerita lain. Aiman bukan faham semuanya.

“Aiman, jangan suka sangat tengok berita TV orang putih tu. Banyak yang tak betul. Kalau Aiman nak, tengok berita sukan. Tu je yang betul” Abah tiba-tiba menyapa dari belakang. Sedikit ketawa Aiman lihat.

Aiman senyum pada Abah.

“Abah ni, kenapa Abah cakap macam tu?”

“Hehehe. Tak ada apa-apa, Abah bergurau je”

“Betulkah Abah gurau Bah?”

“Betullah. Cuma jangan percaya sangat dengan berita tu, baik Aiman tengok Sin Chan, Sin Chan tak menipu, dia akan cakap semua benda yang dia nak. Tak takut dengan siapa-siapapun. Tapi Aiman jangan nakal macam Sin Chan ya.” Abah mencuit perut Aiman.

“Eh. Eh. Abah ni.” Aiman mengelak. Aiman pura-pura nak gigit lengan Abah.

“Aiman nakal” Abah cubit pipi Aiman sebelum berlalu pergi.

Abah lambai Aiman setelah selesai memakai kasut. Dari celah-celah pintu, Aiman tengok kereta buruk Abah perlahan-lahan bergerak. Tak sedar, Aiman tiba-tiba terkenang semasa Abah bawa Aiman jalan-jalan dengan kereta buruk yang sama di Dataran Merdeka dahulu. Abah beritahu Aiman, Dataran Merdeka simpan banyak sejarah negara. Setiap tahun sambutan kemerdekaan akan diadakan di situ kata Abah. Tapi Aiman hairan, Aiman tengok banyak motorsikal di tepi-tepi jalan. Di atas motorsikal ada abang-abang dan kakak-kakak. Berpasang-pasangan.

“Abah, abang-abang dan kakak-kakak tu buat apa Bah?”

“Aiman jangan tengok, tu orang tak senonoh” tinggi sedikit suara Abah.

“Macam filem Hindustanlah Abah”Aiman memancing ketawa Abah.

Abah diam. Kemudian menguntumkan sedikit senyum untuk Aiman.

“Hindustan Aiman kata? Macam orang di hutan adalah” Abah ketawa selepas selesai berkata-kata.

“Berdosa tak buat macam tu Abah?”

“Berdosa Aiman. Comfirm berdosa kalau belum berkahwin” Abah senyum lagi.

Aiman terus memandang gelagat kakak dan abang sebangsa Aiman. Semakin lama, semakin jauh kereta Abah membawa Aiman dan Abah meninggalkan Dataran Merdeka. Hati Aiman sedikit tenang selepas tidak lagi melihat kelibat orang hutan tadi. Sedih Aiman tengok mereka jadi seperti itu. Aiman sangka orang putih sahaja yang suka buat tak senonoh. Bangsa Aiman pun begitu rupanya. Sudah tak malu berbuat salah.

“Aiman, Aiman ni kuat sangat berkhayal” tiba-tiba sahaja Umi memegang bahu Aiman dari belakang.

Lamunan Aiman berlalu bersama angin malam, sedar tak sedar, rupanya Aiman sudah duduk beberapa jam di hadapan televisyen. Aiman senyum pada Umi. Aiman malu sebab suka berkhayal meski sebenarnya Aiman hanya mengingati perkara lalu.

“Umi, kenapa orang yang berbuat dosa, selalu tidak berasa bersalah?”

“Maksud Aiman?”

“Aiman teringat kakak-kakak dan abang-abang di Dataran Merdeka, buat perkara tak senonoh macam orang putih”

“Oo, macam tu. Kalau Aiman nak tahu, perkara yang salah, kalau buat banyak kali, takkan rasa bersalah. Lupa pada pahala dan dosa. Aiman jangan jadi macam tu ya. Aiman anak Umi dan Abah yang baik dan bijak” Ujar Umi panjang lebar.

“Ha’a Umi, Aiman tak mahu jadi macam tu. Aiman nak jadi anak yang baik untuk Umi dan Abah”

“Ok dulu Aiman. Aiman pergi tidur dahulu, esok pagi nak ke sekolah” Umi memberi arahan dengan lembut pada Aiman.

“Baik Umi”

Aiman bingkas bangun dan mengemas sofa ruang tamu yang Aiman selerakkan tadi. Umi menutup suis televisyen sebelum membimbing Aiman ke bilik.

“Selamat malam Umi” Aiman salam sebelum mencium tangan Umi.

“Jangan lupa baca doa sebelum tidur ya Aiman”

“Ya Umi”

Umi kemudian mematikan suis lampu sebelum menutup pintu. Bilik Aiman gelap. Mata Aiman pula terasa berat. Aiman menutup mata perlahan-lahan. Aiman berasa sangat tenang.

“Kriiiiiiing”

Bunyi jam loceng yang Abah belikan mengejutkan Aiman kali ini. Aiman bangun dengan pantas. Aiman bersemangat sungguh. Aiman pun tak tahu kenapa. Aiman menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Selepas itu, Aiman tunggu Abah di depan pintu rumah. Abah bangun lebih awal tadi. Setelah Abah muncul, Aiman bergerak seiringan dengan Abah menuju ke masjid berhampiran rumah. Setibanya di masjid, Abah terus ke hadapan memperbetulkan pembesar suara sebelum mengalunkan azan. Aiman suka dengar azan. Hati Aiman tenang.

Setelah beberapa ketika, hadir tiga orang selain Aiman dan Abah di dalam masjid. Setiap hari memang itu sahaja orang yang pergi ke masjid. Kecuali semasa solat Jumaat. Penduduk di kawasan sekitar lain mungkin sibuk, fikir Aiman. Pak Husin, imam masjid kata Abah, menuju ke hadapan. Setelah itu, solat dimulakan. Aiman senyap. Abah kata semasa solat, Aiman mesti diam dan khusyuk. Aiman akur walau tak berapa faham.

Seusai bersolat, Aiman berlari-lari pulang ke rumah. Aiman berkemas hendak ke sekolah. Aiman masukkan buku ke dalam beg. Tidak sengaja, Aiman terpandang pada buku Matematik. Semua dalam bahasa Inggeris. Aiman terkenangkan kawan Aiman, Haziq. Haziq bukan tak pandai. Haziq selalu dapat markah penuh dalam Bahasa Malaysia. Tapi Haziq selalu gagal dalam Matematik. Aiman hairan. Haziq pernah kata, ayah Haziq dah tak ada. Hanya ibu sahaja yang menjaganya. Mereka juga tidak mampu untuk membeli buku tambahan Matematik. Aiman kasihan dengan Haziq. Aiman tahu Haziq bijak nombor, cuma tidak tahu berbahasa Inggeris.

Aiman pasang kasut Aiman kemudian mengikat kemas talinya. Bas sekolah Aiman sudah menunggu di jalan kecil berhadapan rumah. Aiman berlari-lari. Bimbang tertinggal. Beberapa minit di dalam bas sekolah. Aiman tiba di sekolah. Pagi itu perhimpunan dijalankan.

“Hamid Thariq dan Saiful Fazir, ke hadapan sekarang” Guru Besar tiba-tiba menyebut dua nama.

“Ini contoh buat pelajar yang lain. Kedua-dua orang ini adalah pelajar yang kita tangkap kerana merokok dan ponteng sekolah Jumaat lalu” suara Guru Besar tegas berkumandang.

Aiman hanya diam. Dada Aiman berdebar. Aiman yang melaporkan kepada Cikgu Ramli, guru disiplin sekolah setelah melihat mereka di tepi bandar ketika mahu ke sekolah Jumaat lalu. Kerana hal itu, mereka berdua tertangkap. Aiman cukup pasti, kedua mereka tahu Aiman yang melaporkan kepada Cikgu Ramli tentang mereka.

Hari itu, Aiman tak tenang belajar. Fikiran Aiman terganggu kerana hal Hamid dan Saiful tadi. Sebaik sahaja loceng rehat berbunyi, Aiman terus bergerak ke tandas. Seperti juga selalu Aiman lakukan. Aiman buka pintu utama bilik air dengan laju. Aiman bimbang sesuatu yang tak baik berlaku. Belum sempat Aiman membuka pintu sepenuhnya.

“Buk!”

Sesuatu hinggap di muka Aiman. Mata Aiman berpinar. Aiman pening.

“Bodoh, dasar budak pengampu Cikgu!”

Serentak dengan itu, Aiman terasa sesuatu yang keras pula menimpa kepala Aiman. Aiman sempat melihat Saiful memegangnya. Saiful ketawa dengan kuat. Hamid di sisinya juga begitu.

“Engkau tak tahu kah bapa aku siapa? Bapa aku YB. Tahu?” Hamid pula berkata-kata.

Aiman sudah tidak tahan, kepala Aiman sakit. Terasa cecair suam mengalir di kepala Aiman. Mata Aiman kabur. Semakin lama semakin kabur. Akhirnya gelap.

Saat Aiman membuka mata Aiman lihat Abah, Umi, Guru Besar dan Cikgu Ramli ada di sisi Aiman. Setelah menenangkan diri, Aiman diberitahu bahawa Hamid dan Saiful telah menyerang Aiman. Namun begitu, mereka tidak dapat dikenakan tindakan. Guru Besar menerangkan, ayah Hamid dan Saiful orang yang cukup berpengaruh. Abah pula menjelaskan yang Aiman akan dipindahkan ke sekolah lain. Aiman diam. Aiman patuh. Aiman tahu dunia memang begini. Dalam hati Aiman berbisik. Biar semua yang benar terpampang di akhirat sana. Jiwa Aiman senyum sendiri. Aiman pasti pada kata-kata Ustaz, di akhirat semua akan menjadi jelas.
Monday, October 20, 2008 | By: Yusuf Nur

Aku Sedang Marah










Sejarah itu bukti
Hati jangan disakiti
Kau dan aku tidak berbeza
Tapi kita tidak pernah sama

Tanah ini milik kita
Bukan bermakna kaulah raja
Mengundang gempita sejuta cerita
Dan dongeng-dongeng tipis
Menconteng, mengikis dan menghakis

Aku rindu saat-saat itu
Kau, aku dan dia berjanji
Tanah ini akan dijaga
Irama berganti
Kau dan dia juga berubah
Memancing keris yang kusisip lama
Dalam sarung setia

Percaya dan yakinlah
Aku pasti marah
Jika tanah ini kau bicara
Jika agama ini kau cerita
Percaya dan yakinlah
Demi menegak pertiwi ini
Sanggup kubayar dengan nyawa
Dan setiap titisan darah!



Bilik Tutorial, Blok C. 20.10.2008
Monday, October 6, 2008 | By: Yusuf Nur

Gadis di jendela













Sudah lama tidak kulihat
gadis di jendela
bertudung litup manis senyumnya
menunduk wajah bila bersua

Sudah lama tidak kujumpa
gadis yang tinggal di rumah
terjaga bicara juga maruah
merukuk sujud dan beribadah

Tapi, selalu sahaja kutemui
hanya perempuan di jalanan
yang bercakap tidak sopan
berbaju tak berpakaian

Selalu juga kujumpa
perempuan yang berambut merah
berbaju ketat terbelah di dada
bertindik di kening, hidung dan telinga

Sesungguhnya, aku rindu pada gadis di jendela
yang mengawal lakunya
yang menghormati orang tua
yang menjaga auratnya
yang bersopan bila berkata
yang patuh pada agama

meski tidak kutahu
bila lagi akan bersua
gadis di jendela
teman si penghuni syurga



Bas Batu 6, 06.10.2008

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum