Friday, June 3, 2011 | By: Yusuf Nur

Memorandum Persatuan Pencuri Ayam



















Kami ahli-ahli persatuan
pencuri ayam
tinggal di dalam kampung
jambatan tak siap
orang biasa tapi berwawasan

Kami memohon
jangan kami ditahan
kerana hidup ini susah
mahu cari makan
tanah kampung jadi milik tuan-tuan
saudara-saudara dan kawan-kawan
pilihan

Mohon juga ada perubahan
jambatan kampung tak siap-siap
sukar untuk curi ayam
jangan hanya sayang pencuri besar
orang kampung juga berperasaan

Tolong lawat masjid kami
mana rosak minta perbaiki
jangan setakat derma masuk tv
supaya nanti satu masa
saat Tuhan tidak dilupa
ada tempat kita berjemaah.


Yusuf Nur
Suara Dari Negeri TERMISKIN dengan Aset Tetap kedua TERMAHAL!
Bawah kolong rumah buruk di pinggir bukit.
1 Jun 2011
Friday, December 11, 2009 | By: Yusuf Nur

Aku Ini Marhaen



















Dalam tunduk berfikir
di mana jalan mahu dipilih
di mana pahat mahu diukir
di mana ilmu mahu disihir

Kujunjung seribu rukun
dalam hayat yang bertahun
nyawa ini tersusun
kuatur santun memohon
biar sepohon
berikan aku ruang untuk terbang

Kenapa engkau sombong?
jenguklah aku
ini aku
yang datang dari reban
dari rumah buruk di pinggir hutan
dan dari tengah-tengah setinggan

Aku bukan haiwan
hanya kerana bukan hartawan
atau angkasawan
atau hartawan
atau wartawan
atau sasterawan

lihat aku di sini
aku juga punya bini
punya harga pada diri
punya niat mahu berbakti
punya hati
lantas mengapa engkau ludahi?

PTPL, Sabah: 12/12/09
Monday, October 5, 2009 | By: Yusuf Nur

Mencari Selafaz







sumber gambar: www.lautanindonesia.com



Terima kasih bonda
kerana melahirkan dua anak yang hampir serupa
walaupun dia abang
dan aku adik
walaupun dia sulung dan aku bongsu
aku bersyukur kerana dia saudaraku
supaya dijaga dan difahami
dalam dua jasad kami satu
dalam terpisah kami berpadu

Duhai abang,
apa yang membuatmu begitu membenciku?
sudahkah kau lupa?
kitab sejarah tidak berdusta
bonda lahirkan kita
dari benih yang sama
lantas mengapa engkau marah
dikala aku berbinkan nama bapa
mengapa engkau tak suka
dikala aku menjunjung nama bonda

Mungkin lahirmu dengan darah
dan aku dengan warkah
tapi itu tidak membezakan kita
kerana darah ini tidak bisa kutukar warnanya
maka berbanggalah
kerana kita bersaudara
redakanlah marah hatimu
kerana musuh pasti ketawa
jika kau dan aku bersengketa


Yusuf Nur, Khutub Khana SENI.
Utusan Borneo..4 hb Oktober 2009.
Wednesday, September 16, 2009 | By: Yusuf Nur

Selamat Tinggal Ramadhan
























Usai sudah kita bersama
dalam hari-hari yang mengundang cerita
tentang insaf, tentang sabar, tentang redha

Saat engkau tiba
kita bergembira bersama
berlari-lari memungut pahala
yang berbondong-bondong tiba
dari langit luas makfirah-Nya

Kala hari bermula
tanganmu menutup mata
dari melihat yang menarik-narik ekor nafsu
menelengkup mulut dari berbicara
mencaci, memaki, mengucap kata-kata nista, berdusta
mengusap-ngusap hati
dengan belaian indah
mengekang ujian tiba

Kala malam menunjukkan wajah
kau memimpin menuju jalan syahdu
supaya tunduk bersujud
menyembah Tuhan kita
Allah yang Esa
sambil merenung tabir sejarah
mencari-cari nasuha
mencuba memadam dosa

Sekarang sudah tiba masanya
saat kita berpisah
kerana waktu setia berlalu
saat untuk Aidilfitri
selamat tinggal Ramadhan
sampai kita bertemu lagi.
Thursday, August 13, 2009 | By: Yusuf Nur

Puisi Untuk Rendra

















Wahyu Sulaiman Rendra
dalam riwayatnya sudah tertulis
akan lahir sebagai penulis
yang mencintai teater dan sastera
muncul dari uniknya benua nusantara

Wahyu Sulaiman Rendra
telah pergi semalam
tapi waras fikirnya masih berjalan
menceritakan kebenaran
dari bobrok pimpinan
hingga rakyat yang kebuluran
dari manusia berjiwa insan
hingga yang lena di pusat pelacuran

Wahyu Sulaiman Rendra
meski kau pergi semalam
nukilanmu tetap tinggal
untuk mengajar bangsa ini
menjadi manusia berakal

Yusuf Nur, Kutub Khana (11 Ogos 09)

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum