Monday, October 5, 2009 | By: Yusuf Nur

Mencari Selafaz







sumber gambar: www.lautanindonesia.com



Terima kasih bonda
kerana melahirkan dua anak yang hampir serupa
walaupun dia abang
dan aku adik
walaupun dia sulung dan aku bongsu
aku bersyukur kerana dia saudaraku
supaya dijaga dan difahami
dalam dua jasad kami satu
dalam terpisah kami berpadu

Duhai abang,
apa yang membuatmu begitu membenciku?
sudahkah kau lupa?
kitab sejarah tidak berdusta
bonda lahirkan kita
dari benih yang sama
lantas mengapa engkau marah
dikala aku berbinkan nama bapa
mengapa engkau tak suka
dikala aku menjunjung nama bonda

Mungkin lahirmu dengan darah
dan aku dengan warkah
tapi itu tidak membezakan kita
kerana darah ini tidak bisa kutukar warnanya
maka berbanggalah
kerana kita bersaudara
redakanlah marah hatimu
kerana musuh pasti ketawa
jika kau dan aku bersengketa


Yusuf Nur, Khutub Khana SENI.
Utusan Borneo..4 hb Oktober 2009.
Wednesday, September 16, 2009 | By: Yusuf Nur

Selamat Tinggal Ramadhan
























Usai sudah kita bersama
dalam hari-hari yang mengundang cerita
tentang insaf, tentang sabar, tentang redha

Saat engkau tiba
kita bergembira bersama
berlari-lari memungut pahala
yang berbondong-bondong tiba
dari langit luas makfirah-Nya

Kala hari bermula
tanganmu menutup mata
dari melihat yang menarik-narik ekor nafsu
menelengkup mulut dari berbicara
mencaci, memaki, mengucap kata-kata nista, berdusta
mengusap-ngusap hati
dengan belaian indah
mengekang ujian tiba

Kala malam menunjukkan wajah
kau memimpin menuju jalan syahdu
supaya tunduk bersujud
menyembah Tuhan kita
Allah yang Esa
sambil merenung tabir sejarah
mencari-cari nasuha
mencuba memadam dosa

Sekarang sudah tiba masanya
saat kita berpisah
kerana waktu setia berlalu
saat untuk Aidilfitri
selamat tinggal Ramadhan
sampai kita bertemu lagi.
Thursday, August 13, 2009 | By: Yusuf Nur

Puisi Untuk Rendra

















Wahyu Sulaiman Rendra
dalam riwayatnya sudah tertulis
akan lahir sebagai penulis
yang mencintai teater dan sastera
muncul dari uniknya benua nusantara

Wahyu Sulaiman Rendra
telah pergi semalam
tapi waras fikirnya masih berjalan
menceritakan kebenaran
dari bobrok pimpinan
hingga rakyat yang kebuluran
dari manusia berjiwa insan
hingga yang lena di pusat pelacuran

Wahyu Sulaiman Rendra
meski kau pergi semalam
nukilanmu tetap tinggal
untuk mengajar bangsa ini
menjadi manusia berakal

Yusuf Nur, Kutub Khana (11 Ogos 09)
Monday, May 18, 2009 | By: Yusuf Nur

Pantun Pokok, Bangunan dan Orang











Pokok:
Sudah lama aku bernyanyi
senandung alam
dalam sunyi-sunyi
mencari tenang yang hilang

Melati menguntum di tepi biara
Melihat suka dari perahu
Di wajah senyum hias gembira
Hatiku luka siapa yang tahu

Bangunan:
Aku juga sudah lama menari
dengan lagu moden
di telinga menjadi halwa
membuat manusia ketawa
kerana aku bangun dari tangan
makhluk bergelar khalifah

Aku tidak tahu berpantun
Aku berbicara jujur
Dalam kata-kata yang kubiar terhambur

Manusia:
Akulah khalifah
yang memerintah
dengan tangan, dengan akal,dan dengan suara

Kompang dipalu hati sengsara
Kayu diukur dibuat gendang
Tiada perlu mulut bicara
Tunduk akur kau akan senang

Pokok:
Senyum dalam duka
dicantas dengan manis cerita
janji-janji manusia
yang lupa menjadi hamba

Buah cempedak jual di jeti
Dimakan kenyang oleh si buta
Di mana hendak kuadu hati
Suaraku hilang di kabus harta

Bangunan:
Suara dari hutan
biar kekal di luar tamadun
hanya sekecil kuman-kuman
yang berteriak dari kaki gunung

Aku masih tidak tahu berpantun
aku masih jujur dalan kata-kata
lurus, jelas dan tegas

Manusia:
Mari-mari kita ketawa
jangan dipeduli suara-suara kecil
ayuh membangun dengan suara merdeka
kita gembira dalam timbunan harta

Pergi ke toko beli peria
Seluar koyak jatuh melantun
Dalam disko berteriak ceria
Aku muak mahu berpantun

Pokok, Bangunan & Manusia:
Siapa ingat dan siapa lupa?
siapa benar dan siapa dusta?

Kancing suasa mohornya pura
Corak melati bercampur senohong
Demi bangsa demi Negara
Mari berhenti bercerita bohong
Sunday, May 10, 2009 | By: Yusuf Nur

Bukan














(gambar tiada kaitan dengan sajak. ni gambar anak buah aku yang aku rindu sesangat..hehehe)

Bukankah,
Itu lorong yang kita lalui
Tempat di mana kita berlari
Mencari cinta dalam hati

Bukankah,
Di bukit itu cinta tertanam
Bersama janji yang kita semai
Hingga masa nyawa terbenam

Hakikat itu semua bukan
Bukan lagi cinta untuk kita banggakan
Bukan kau yang berubah
Dan bukan aku yang menukar arah
Tapi kita yang bersalah
Kerana sukar mengukuh cinta

Dan marilah bernyanyi
Kerana irama takdir ini akan terus berbunyi
Meski lagunya menyakitkan
Dan hidup ini bukan berhenti
Saat cinta itu mati

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum