Thursday, August 13, 2009 | By: Yusuf Nur

Puisi Untuk Rendra

















Wahyu Sulaiman Rendra
dalam riwayatnya sudah tertulis
akan lahir sebagai penulis
yang mencintai teater dan sastera
muncul dari uniknya benua nusantara

Wahyu Sulaiman Rendra
telah pergi semalam
tapi waras fikirnya masih berjalan
menceritakan kebenaran
dari bobrok pimpinan
hingga rakyat yang kebuluran
dari manusia berjiwa insan
hingga yang lena di pusat pelacuran

Wahyu Sulaiman Rendra
meski kau pergi semalam
nukilanmu tetap tinggal
untuk mengajar bangsa ini
menjadi manusia berakal

Yusuf Nur, Kutub Khana (11 Ogos 09)
Monday, May 18, 2009 | By: Yusuf Nur

Pantun Pokok, Bangunan dan Orang











Pokok:
Sudah lama aku bernyanyi
senandung alam
dalam sunyi-sunyi
mencari tenang yang hilang

Melati menguntum di tepi biara
Melihat suka dari perahu
Di wajah senyum hias gembira
Hatiku luka siapa yang tahu

Bangunan:
Aku juga sudah lama menari
dengan lagu moden
di telinga menjadi halwa
membuat manusia ketawa
kerana aku bangun dari tangan
makhluk bergelar khalifah

Aku tidak tahu berpantun
Aku berbicara jujur
Dalam kata-kata yang kubiar terhambur

Manusia:
Akulah khalifah
yang memerintah
dengan tangan, dengan akal,dan dengan suara

Kompang dipalu hati sengsara
Kayu diukur dibuat gendang
Tiada perlu mulut bicara
Tunduk akur kau akan senang

Pokok:
Senyum dalam duka
dicantas dengan manis cerita
janji-janji manusia
yang lupa menjadi hamba

Buah cempedak jual di jeti
Dimakan kenyang oleh si buta
Di mana hendak kuadu hati
Suaraku hilang di kabus harta

Bangunan:
Suara dari hutan
biar kekal di luar tamadun
hanya sekecil kuman-kuman
yang berteriak dari kaki gunung

Aku masih tidak tahu berpantun
aku masih jujur dalan kata-kata
lurus, jelas dan tegas

Manusia:
Mari-mari kita ketawa
jangan dipeduli suara-suara kecil
ayuh membangun dengan suara merdeka
kita gembira dalam timbunan harta

Pergi ke toko beli peria
Seluar koyak jatuh melantun
Dalam disko berteriak ceria
Aku muak mahu berpantun

Pokok, Bangunan & Manusia:
Siapa ingat dan siapa lupa?
siapa benar dan siapa dusta?

Kancing suasa mohornya pura
Corak melati bercampur senohong
Demi bangsa demi Negara
Mari berhenti bercerita bohong
Sunday, May 10, 2009 | By: Yusuf Nur

Bukan














(gambar tiada kaitan dengan sajak. ni gambar anak buah aku yang aku rindu sesangat..hehehe)

Bukankah,
Itu lorong yang kita lalui
Tempat di mana kita berlari
Mencari cinta dalam hati

Bukankah,
Di bukit itu cinta tertanam
Bersama janji yang kita semai
Hingga masa nyawa terbenam

Hakikat itu semua bukan
Bukan lagi cinta untuk kita banggakan
Bukan kau yang berubah
Dan bukan aku yang menukar arah
Tapi kita yang bersalah
Kerana sukar mengukuh cinta

Dan marilah bernyanyi
Kerana irama takdir ini akan terus berbunyi
Meski lagunya menyakitkan
Dan hidup ini bukan berhenti
Saat cinta itu mati
Monday, May 4, 2009 | By: Yusuf Nur

Warkah Buat Jerung










Akulah pemancing
yang datang dari darat
membawa kail sejengkal
bertemu lautan luas
dari tepi pantai

Surat kutulis
untuk jerung yang ganas
memberi warkah dari tepi pantai
dari setiap ceruk darat
dari perbukitan ke tanah landai

Wahai jerung
semua ingin kau telan
dari ikan kecil hingga paus
semua mahu dimakan
dari tepi pantai ke tengah samudera
semua kau ratah dengan rakusnya

Wahai jerung
engkau buas
gigimu tajam
merobek semua yang kau idam
sedang anak-anak jerungmu
makan dari sisa-sisa
yang kau tak sempat hadam

aku tahu jerung
engkau pembantai lahap
makan apa yang kau lihat
telan apa yang kau dapat
biar kantung dalam perutmu
berat, sarat dan sendat
dengan makanan yang berselirat

aku juga tahu jerung
kau punya alasan untuk rakus
demi menjaga keturunanmu
mengutip dari kantung perut
tanpa kira yang halal dan haram

aku cuma pemancing
yang mampu memberi surat
untuk jerung, raja lautan
dalam warkah yang mungkin bernasihat
supaya semua pemancing dan hidupan
dapat nikmati adilnya lautan
untuk kita untuk keturunan
takutlah dengan Tuhan
Wednesday, April 29, 2009 | By: Yusuf Nur

Bohjan: Jangan Pilih Jalan Songsang











Matkurus: Satu filem yang mempesonakan. Lakonan mantap, grafik cantik, elemen kasih sayang yang nampak reallah Bang.

Abg Mu, Nasrul: Tak taupun ada filem ni. Best ke?

Matbuaya: Best sangat. Banyak awek-awek cantik kat dalam tu. Banyak belajar cara-cara mengurat. Saya juga dapat memperbaiki taktik mendapatkan perempuan untuk dirosakkan.

Begitulah antara komen orang awam terhadap filem terbaru Bohjan (Jangan Pilih Jalan Songsang) arahan Shamsila; pengarah muda yang berbakat besar. Filem ini adalah di bawah produksi Serkup Production Sdn Bhd. Sebelum bercerita panjang, molek kiranya jika dilihat sinopsis cerita yang menggegar di pawagam ini.

Sinopsis:
Filem ini mengisahkan tentang dua orang Bohjan yang meniti hidup di Kuala Lumpur yang penuh dengan kebusukan manusia. Cerita bermula apabila watak utama Tahir telah diliwat oleh bapanya yang bersifat binatang setelah mabuk oleh "montaku'"yang dibeli dari kedai-kedai yang secara terbuka menjualnya. Tahir telah melarikan diri dari rumah dan terjatuh cinta dengan seorang Minah rempit bernama Aza. Namun cinta mereka dinodai Aza yang curang dengan meniduri seorang Bohjan lain, Apek. Tahir yang kecewa dengan hidupnya cuba membunuh diri. Sebelum sempat dia membunuh diri, dia bertemu seorang Minah rempit lain bernama Maya. Terharu dengan nasib Tahir, Maya bersetuju untuk membunuh diri bersama-sama dengannya. Kisah dalam filem ini berakhir setelah Tahir dan Maya mati membunuh diri.

Ulasan:
Secara keseluruhan, filem ini memaparkan realiti dalam masyarakat (seperti yang diwar-warkan oleh pengarahnya Shamsila)dan dipenuhi dengan unsur-unsur mengejutkan yang boleh membuat penonton sesak nafas kerana terlalu merokok. Paparan watak dan babak dalam filem ini pula kelihatan sangat nakal namun memberi unsur pengajaran terutama untuk Minah-minah rempit dan Bohjan. Menurut pengarah filem ini lagi, beliau cuba memberikan gambaran sebenar masyarakat kepada penonton agar mereka dapat menilainya. Namun begitu, para pengkritik filem menafikan tujuan tersebut dengan mengatakan bahawa filem ini baik kerana mengajar Bohjan dan Minah rempit supaya meniru aksi-aksi di dalam filem ini yang mampu menggegar masyarakat. Dari aspek nilai murni juga, dikatakan bahawa khalayak akan mengalami kesukaran untuk menyerap kemurnian yang disulam secara halus dalam filem ini kerana penonton sendiri kebanyakannya hanya terdiri daripada Bohjan dan Minah rempit yang malas berfikir, agresif dan dungu berdengung. Walaupun begitu, diharap filem-filem sebegini bertambah banyak agar manusia-manusia yang malas berfikir akan terhibur dan mendapat jalan hidup yang sebenar.

P/S: Filem ini menang anugerah pelakon Bohjan terbaik.
hahahahahahahahaha.

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Takdir Bernyanyi

Biarkan Aku Tersenyum

Biarkan Aku Tersenyum